Powered By Blogger

Rabu, 25 Jun 2008

Sal Abesa, “Saya tanda cinta!” (Dari kerana mata)

Sal Abesa, “Saya tanda cinta!” (Dari kerana mata)

Saya sedang dalam kebosanan. Merenung pada telefon bimbit. Mengharap pada mesej yang akan tiba mengetuk pada peti masuk saya. Namun hampa. Entah mengapa tapi semacam ada satu bahagian pada lubuk rasa saya yang seringkali mendatangkan kegelisahan pada diri. Gundah yang jarang benar dapat diungkap pada kata. Berkurun saya mencari, selalu akhirnya saya akan menyendiri. Saya seboleh-bolehnya mahu lari jauh daripada peradaban manusia. Biarlah saya sendiri yang mengerti pada diri yang saya sendiri sukar fahami.

Cuti bulan Jun tidak banyak berlaku pada saya. Cuma memenuhi undangan ke majlis kenduri-kendara sanak-saudara yang saya sendiri baru kenali. Ke Terengganu di rumah Tok Teh, singgah di rumah Ayah Su, sebelum balik ke Kelantan ke rumah Che Ton di kampung Raja. Rumah Anis (saya cuma ingat pada anak gadis 16 tahun itu (^_^), lupa terus nama ibunya). Merentas jalan tar ke Pasir Puteh pula, melalui pantai Tok Bali, melepasi Bukit Tiu (latar tempat cerita ’Mimbar’), Bukit Muka dan bermacam jenis bukit lagi yang namanya saya kurang hafal. Sampai di rumah Su Nah. Mak Long dan konvoi kami sekeluarga melepas lelah disitu.

Perjalanan dari Terengganu itu benar satu perjalanan yang bagi saya menarik (saya jarang keluar rumah). Bukan kerana bertandang ke rumah adik beradik sebelah ibu, tapi pada segala yang terhadam oleh saya sepanjang perjalanan itu. Ayah, baru saya kenali disebalik jenakanya seorang ahli sejarah tidak bertauliah. Petah lidahnya pada segala sejarah tempat yang kami lepasi. Walaupun saya agak skeptikal namun ternyata ayah punya rencah dalam menyampaikan faktanya supaya tidak tawar.

Sebelumnya saya ke Ketereh. Ahhh. Kampung sebelah ayah yang bagi saya cukup menarik hati saya untuk menarik gebar rahsianya. Kampung golok cukup indah dengan alamnya. Jalan untuk masuk ke rumah datuk cuma muat untuk sebuah kenderaan. Di kiri dan kanan jalan sebelum masuk ke simpang ada sawah yang seluas mata memandang. Saya cukup senang memandang pada sawah itu. Awan gemawan yang menggejuju dengan bentuk yang berbagai di kanvas biru langit. Kerbau yang sayu mengenang nasib. Di sebelahnya ada jentera gergasi kuning. Kampung sebelah ayah memang menarik. Bolehlah dikatakan semua jiran di kampung itu merupakan saudara saya. Tetapi cuma datuk sahaja yang jelas mengenai pangkat mereka. Kami yang terkemudian cuma mengenal mereka sebagai ’waris-warah’ (dialek Kelantan yang membawa makna saudara jauh).

Ahhh!!! Tinggalkan dulu cerita itu. Saya mahu jujur kali ini. Sebetulnya gundah saya pada yang bila diajukan pada seorang teman, kemaruk orang berkasih katanya (???). Usahkan saya, bahkan sepertinya ayam-ayam di bawah rumah, Jo, Maria, Hitam dan lain-lain turut berkokok kehairanan. Saya cuma gelak terbahak-bahak. Umpama melihat babun berterbangan dan lembu meluncur sungai. Pertama kali hati saya tertaut pada insan kaum Hawa tatkala umur mencecah enam tahun.

Namanya biarlah rahsia. Darah saya berderau setiap kali menatap wajahnya. Dua tahun saya menyulam hati dengan impian berkasih. Mungkin sesuatu yang terlebih matang bagi kanak-kanak seusia itu. ( ”rupa muda,minda dewasa,” kata Aiman Manap, terima kasih Akhi). Namun matang pada minda, laku saya tetap kanak-kanak. Saya seringkali mahu mendominasi keadaan. Kadangnya membawa kecelakaan pada akibat mahu menunjuk depan si ’dia’.

Darjah dua saya berpindah dari Gua Musang ke Kuala Krai. Setahun berlalu dengan aman. Darjah empat saya mula mengenali seorang kanak-kanak perempuan yang menambat hati saya. Namun saya tidak pernah berani untuk menegurnya. Cuma sesekali lawak bodoh untuk menarik perhatianya. Hati saya terus terpikat pada dia. Usia 11 tahun, saya mula untuk meminggirkan perasaan itu. Cinta saya mula bertaut pada buku. Teks komsas tingkatan 4 dan 5 saya habiskan ketika darjah lima. Kemudian, saya terjumpa almari buku lama datuk. Cinta saya pada perkataan terus sahaja mekar. Pembacaan mematangkan saya dalam berfikir. Walaupun kadangnya keputusan saya langsung tidak rasional.

Melangkah ke sekolah menengah saya lupa terus pada ’kasih yang tak berbalas’. Umur 14 tahun, tiba-tiba sahaja ramai teman saya menjadi monyet. Saya cukup jelik. Pulang bercuti di kampung, bersama teman di pondok ataupun rumah Naim, saya ataupun Haziq, kadangkala Hanif Zaki pun turut serta. Membuatkan saya keliru. Yang mana haiwan dimana insan. Setiap seekor tekun sahaja pada skrin telefon (no offense!).

Akhir tahun persekolahan tahun itu. Saya cuba menduga cinta pada seorang remaja perempuan. Namun nyata saya tidak betah pada perempuan. Kemudian saya tinggalkan terus dia dan mereka yang pernah menambat hati saya. Namun satu tabiat saya yang sering menimbulkan riak-riak gelisah pada ibu. Saya gemar mengulas apabila memandang seorang gadis.
”Ma, dia tu lawalah!”
”Ma kenal ibunya?”
Keluarga sering mengusik saya. Kata mereka saya gatal. Gelisah ibu mungkin kerana apa yang tersirat pada pesannya. Kalau nampak perempuan, pastikan muka ibu jadi pendinding. Biarpun dalam seloroh nadanya tegas.

Jadi sehingga sekarang saya cuba untuk mengelak dari mengalami metamorfosis menjadi monyet jadian. Kekallah saya dengan kasih tak berbalas. Kata ibu itu lebih baik. Saya menurut sahaja. Tetapi sebetulnya saya takut untuk berkasih kerana saya malu.

Saya sering berfikir betapa malunya nanti saya apabila saya berkasih. Malu saya yang paling besar tentulah pada tuhan. Cuba fikir. Setiap mesej kekasih hati pasti saya balasi. Bahkan dengan kadar yang sesegera mungkin. Setiap panggilan pasti akan saya jawab. Namun saya malu kalau mengenang, selama saya hidup sekarang tanpa kekasih pun saya kadang-kadang hanyut. Tuhan menyampaikan mesej keagunganNya dalam segala ciptaan, namun saya jarang meluangkan masa untuk menelaah. Surat cinta teragung dariNya yang sering saya abaikan. Seratus empat belas bahagian semuanya. Namun hati saya masih kurang ghairah untuk membaca. Sedangkan difikir kembali, setiap bait dalam surat cinta itu merupakan perkataan yang datang terus daripadaNya. Sepatutnya hati saya teruja membaca perkataan daripada tuhan itu!

Saya juga malu. Nanti bilamana saya mengucapkan kata-kata cumbu pada kekasih, dan kami hanyut dalam laut percintaan. Saya lupa akan cinta saya kepada tuhan. Sedangkan setiap saat saya menyedut udara tuhan. Saya bangun dari tidur sihat dengan izinNya. Lahir saya sempurna anggota. Terlalu banyak bukti kasih tuhan pada saya. Saya malu pada tuhan.

Saya juga malu pada saudara saya di palestin. Saudara saya yang sering saya lupa kerana saya tenggelam dalam nikmat aman di Malaysia. Saya malu kalau marah pada kekasih saya yang bermesraan dengan lelaki lain. Namun saya masih meyogok diri dengan jenama musuh saudara saya. Saya dayuskah kalau begitu? Malu saya kerana nanti saat saya bermesraan saudara saya pula dihenyak dengan jentera, dibedil kepala, dirobek perut, dilanyak but tentera, saudara saya menjadi yatim dan piatu. Layakkah saya untuk bergelar Islam kala itu?

Saya malu! Dari mata ini saya saksikan segalanya. Saya bisa ukir noda dosa pada papan hati saya yang hanyut di lubuk rasa, atau saya bisa saja melihat rona warna gemilang hidayah Ilahi. Semuanya kerana mata. Tetapi saya tidak minta menjadi buta, kerana saya ingin mati berjuang dengan senjata bukan dengan kata. Marilah kita sama-sama berdoa, moga-moga mata ini akan hanya terpaut pada yang indah di sisi tuhan, bukan mata hati kita yang mati. Peliharalah mata kami ya Allah!

Saya seringkali berharap, apabila saya benar-benar bertemu jodoh dengan manusia. Bukan menyulam cinta monyet. Saya mampu untuk berbuat sesuatu supaya nanti saya tidak berasa malu dengan tuhan dan saudara saya. Tuhan! Jadikanlah hambaMu ini insan berguna pada umatnya. Saya bersyukur kerana lahir saya adalah tanda cinta ibu dan ayah pada tuhan. Moga setiap dari kita juga mampu menjadi tanda cinta yang benar memberi ingatan kepada cinta sang Pencipta. Amin!!!

2 comments:

Abdi Syukur berkata...

pesa,ur writing is wonderful and powerful. glad that u come to your senses earlier than myself(ehek2). plez, do write a story bout me..(koya dok?).........syakir farispetra

Tanpa Nama berkata...

isk isk..
akh,ana terasa n terharu..
bibir ini turut sama mengucap amin..