Powered By Blogger

Sabtu, 23 Ogos 2008

Surat rasmi

Muhammad Faisal Mat Zawi,
Penulis bebas,
No. 20, Batu Lada,
18000 Kuala Krai,
Kelantan Darul Naim.


Mohd Ikhwan Bin Ahmad Zhaki, 19 Ogos 2008
Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Akhi,

Penubuhan organisasi khusus buat penulis muslim SBP

Perkara di atas dirujuk.

2.Lewat kebobrokan dunia hari ini membuatkan saya terpanggil untuk menyeru kepada pihak saudara berkenaan penubuhan sebuah badan bebas yang bernaung di bawah panji gerakan pelajar Islam menggunakan lapangan penulisan sebagai wasilah untuk menyorotkan sinar Islam.

3.Bidang penulisan telah lama diakui para budayawan sebagai penujah kepada sistem perkembangan bahasa dan budaya yang memberi impak besar terhadap lapangan hidup. Masyarakat dunia umumnya yang menghabiskan purata 5 buah buku setahun menerima kesan langsung daripada perkembangan penulisan.

4. Sedikit masa lalu kemunculan The Da Vinci Code sedikit menggoncang perdu akidah penganut kristian dengan teori-teori arbitrarinya yang jelas membuatkan mereka skeptikal biarpun jelas Dan Brown hanya melarik tinta dari sisi kualitatif mindanya. Salman Rushdie yang baru menerima darjah kebesaran dari Ratu Elizabeth pernah menjerkah dunia. Novelnya yang menimbulkan polemik panjang dalam kalangan sarjana Islam, The Satanic Verse mula menyedarkan kalangan intelektual muslim berkenaan pengaruh karya penulisan masyarakat.

5.Tokoh penulisan Ikhwanul Muslimin, Syed Quthb dengan Tafsir fi Zilalil Quran telah membawa dimensi baru dalam menafsirkan Quran lewat abad ke dua puluh. Al-A’dalat Al-ijtima’iyyah fi al-Islam telah membuka mata sekalian banyak pihak berkenaan keadilan sosial dalam Islam sekaligus membidas tulisan para orientalis barat yang memberi cerminan hapista kepada umat Islam.

6.Pengaruh media yang dikuasai barat ternyata menjadi masalah yang menghantui dunia Islam. Dengan kuasa media di tangan mereka, tidak ubah seperti memegang layar kapal yang mempengaruhi persepsi dunia terhadap apa sahaja yang mereka utarakan. Justeru dalam memerangi bibit Islamophobia yang mereka semaikan dalam jiwa masyarakat dunia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menguasai pula lapangan penulisan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Al-Qalam ayat dua, menurut Syed Quthb bahawa siapa yang menguasai penulisan maka dia menguasai ilmu pengetahuan.

7.Penubuhan persatuan penulis muslim tersebut serta segala gerak kerja dan organisasinya terserahlah kepada pihak APIS untuk mencorakkannya.

8.Akhir kata saya memetik ungkapan Asy-Syahid Syed Qutb, “dunia ini sedang melalui beberapa revolusi budaya dan pencarian tiada akhir sebuah alam dan sistem kehidupan yang seimbang. Selepas beberapa abad dengan penyelidikan dan eksperimen dan menemui kekecewaan dengan dunia materialistik – ‘aqidah yang benar dan sistem sosial yang adil yang dicari sekian lama oleh penghuni dunia ini, cumalah boleh diperolehi melalui naungan Islam. Hakikat ini senang dihuraikan kepada dunia yang bersedia menerimanya, tetapi apa yang perlu sebelum daripada itu ialah perubahan masyarakat Islam itu sendiri.”

Sekian untuk makluman dan tindakan, segala kerjasama dan respons positif amat diharapkan dari pihak saudara.




“demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan” <68:2>

Muhammad Faisal Mat Zawi,
Faesal_islamicstudent@yahoo.com.my
http://assadulkalantani.blogspot.com
Mantan Perkampungan Penulis Muda Kementerian Pelajaran Malaysia 2008
No. 20, Batu Lada,
18000 Kuala Krai,
Kelantan Darul Naim.

No. Tel: 017-2387944

(ini adalah salinan surat kepada APIS, jadi saya menyeru kepada mana-mana pelajar Islam yang berbakat dan mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang penulisan kreatif dan ilmiah untuk menghubungi saya)

1 comments:

Rausyanfikir berkata...

Salam akh,

Setuju sgt. Korg perkasakanlah APIS tu.