Powered By Blogger

Rabu, 26 November 2008

Sebuah keNIKMATan yang diNAFIkan.

Kuala Krai dilanda hujan lagi, saya pun masih mengira butir-butir air yang menari galak turun ke bumi. Tiga bulan sudah saya meninggalkan kampung Batu Lada berada di tanah orang. Dan masih seperti sediakalanya kampung saya. Geger dengan riuh tawa masyarakat kampung dan hilai ungka dan lotong serta kera yang setia menghuni rimba sekunder di sekitar kampung.

Benar itulah damai yang saya impikan, biarpun dalam bingit dentuman air hujan pada bumbung zink rumah saya. Masih juga tenang saya rasakan dalam musim tengkujuh ini. Hujan, hujan dan hujan. Air, air dan air. Dua perkataan yang saya kira sudah acap kali meniti dari bibir rakyat Kelantan dari utara ke selatan.

“Allah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang Dia kehendaki, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya…” <30:48>

Hujan turun tidak menentu di Kuala Krai. Kadang petang, kadang pagi tapi banyaknya malam. Dari itu banyak jugalah segala rencana terpaksa dirangka semula. Hujan pula turnnnya putus-putus, tapi lebatnya usah dicerita. Ironinya, dalam penangan hujan lebat itu. Kampung saya mengalami keputusan bekalan air. Air paip sepertinya dicatu, kalau pagi ada, petangnya angin sahajalah yang keluar dari bibir paip. Tapi bilnya melambung juga (?).

Makanya oleh kerana masalah itu, telinga saya pun tiadalah lepas dari menangkap cakap-cakap orang. Semua merungut, yang menoreh terpaksa ikat perut, pesawah tiada dapat ke bendang, nelayan apatah tidak turun ke laut. Semuanya merungut kerana hujan. Ibu saya pun merungut dengan kehilangan misteri bekalan air.

Dalam meladeni jiwa saya. Seorang teman bertanya,
“bakpo mung tok make duye?”
Saya terfikir, lama juga saya berfikir. Namun tidak juga saya temui kenapa saya alah dengan durian, dan cuma gelengan kepala sahaja yang menjadi jawapan saya. Dahulu pernah sekali saya cuba makan seulas, akhirnya saya muntah-muntah. Bau durian sudah cukup membuatkan saya berpinar.

Perkara-perkara sebegini menuntun akal saya untuk berfikir setiap kali. Orang sering membicarakan penangan durian, kesedapan yang tidak terkata, tekstur yang lembut, rasa lemak-lemak manis. Namun disebalik semua itu saya hanya mampu menjadi pendengar yang setia. Menemani keluarga kadangnya. Saya melihat sahaja.

Itulah sebuah nikmat yang dinafikan terhadap saya. Saya tidak akan pernah dapat mengecap nikmat durian sebagaimana penggilanya.

Apabila seorang teman mengadu kepada saya, sepertinya punya masalah negara. Hidupnya sengsara. Dia berduka lara. Ditinggalkan kekasih jiwa. Dia bertanya,
“adakah ini juga nikmat dinafikan terhadap saya?”
Saya menyelam ke dalam alam akal saya sebelum memberi jawabnya. Walaupun saya bukan insan sempurna. Tetapi secebis dari teman setia, pasti mengubat dukanya. Walau sebenarnya saya ingin sekali ketawa.

Saya bermula dengan bertanya pada jiwanya. Sedang kita bergelak tawa, di bahagian lain dunia selaksa macamnya. Apa kita pernah memikirkan saudara kita di Mindanao, Setul, Yala, Narathiwat, Pattani, Basra, Baquba, Najaf, Kabul, ataupun Baitulmaqdis atau dimana sekalipun.

(olahan dari petikan sajak ‘bumi sudah sebak’:Faisal Muhammad MZ)
Perut mereka kenyangkah hari ini?
Semalam tidur mereka berselimutkah?
Atau mereka tidak pernah sempat melelapkan mata?
Bagaimana pula dengan anak kecil?
Adakah juga bermimpi harapan untuk hari esok?

Semalam saudara saya meninggal dunia, saya tidak pernah mengenalnya. Apatah lagi bersua muka. Namun saya tahu dia saudara saya, walau kami tidak punya ikatan keluarga. Namun kami berkongsi iktikad sama. Atas kalimah syahadah serupa. Saya tahu dia saudara saya. Saya bertanya lagi teman itu, apakah dari kerana saban hari juga kita dilaporkan dengan kematian ‘rakyat’ (sebetulnya mentality kita mentafsir perkataan itu yang lain, ataupun media punya agenda?) palestin maka hal itu menjadi klise?

Itulah nikmat persaudaraan islam yang kita nafikan pertamanya.

(Petikan cerpen Amat,Faisal Muhammad MZ)

“Adapun hamba ini membawa tiga pesan. Dari bijak pandai zaman dahulu dan segala utusnya,”
“Pesan? Maksud datuk Laksamana?”
“Pertama pesan hamba untuk anak, Suara anak ditahan tuhan buat sekian lamanya adalah tidak bermakna zalimnya tuhan itu seperti anggapan orang yang lemah akalnya. Seperti juga orang tiada mampu melihat, nescaya terhindarlah dianya dari menanggung dosa melihat yang maksiat, yang tuli itu terhindar dari dosa mendengar fitnah, yang bisu terhindarlah dari celaka mulutnya. Terhijab pancaindera terhijab dosa pada fikiran orang yang panjang akal,”

Itulah nikmat pancaindera yang dinafikan kita.

Kemudian saya tinggalkan teman saya, bersama persoalan dalam mindanya. Setelah saya minta padanya untuk bertanya pada jiwa.

Seperti cerita hujan di kampung Batu Lada,

“…maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka bergembira. Padahal walaupun sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.” <30:48-49>

Maka nikmat tuhan yang mana pula kita nafikan? Ingat dahulu kempen alam sekitar, fikir dahulu sebelum buang. Jadi mari kita fikir dahulu sebelum cakap, fikir, tulis atau apa sahaja tindaknya.

2 comments:

Ariff Hafizi berkata...

memang. aku dop ske durian gk.. haha.

abesa berkata...

aku pun ngahahahahaha