Soalan lazim yang saya biasa terima daripada teman-teman.
"Benarkah Tuhan itu wujud?"
Biasanya jawapan saya Tuhan itu memang benar wujud. Hinggalah pada suatu hari, ketika saya berada dalam darjah empat, seingat saya dahulu ada tiga orang rakan India yang beragama Hindu. Ada suatu ketika di perpustakaan sekolah rendah, saya memberanikan diri untuk bertanya soalan yang sepatutnya bukan untuk dibuka kepada khalayak umum awam kerana menimbulkan sensitiviti keagamaan.
Namun, mungkin pada masa itu saya masih terlalu mentah untuk memahami apa yang dinamakan dengan toleransi antara kaum.
"kenapa awak sembah patung?"
Dua orang rakan India itu agak terkejut dengan soalan saya yang agak terbuka menyentuh soal agama.
"habis yang kamu sembah diding tu?", maka dipendekkan ceritanya berlakulah perdebatan antara agama yang pertama buat saya. Saya dengan tegasnya menyatakan kekeliruan mereka dengan konsep kiblat. Manakala, mereka pula menghentam saya bertubi-tubi dengan alasan saya tidak memahami konsep perantaraan mereka.
Kemudian, selapas beberapa tahun saya sendiri terlupa dengan peristiwa tersebut.
Seorang pemikir Inggeris, Webber pernah menyatakan konsep antara agama yang bersifat tradisional dan rasional. Selalunya agama yang tradisional akan mencari satu alasan untuk menyabitkan kepada satu kejadian.
Contohnya, apabila seluruh tanaman untuk tahun tersebut tidak mengeluarkan hasil. Maka mereka kan membuat andaian bahawa tuhan telah murka. Selalunya pendekatan yang akan diambil untuk menyelesaikan masalah sebegini terlingkup dalam satu ruang keterbatasan kehendak yang dicipta untuk tuhan itu.
Menyembelih korban sebagai persembahan untuk tuhan. Secara jelas mengikut hukum akal menolak sifat tuhan yang tidak terbatas. Apabila memperkatakan tentang korban, seolah-olah tuhan itu merupakan satu makhluk yang terbatas sifatnya oleh kehendak. Sedangkan tuhan sepatutnya tidak terikat dengan suatu apapun sifat yang bertentangan dengan semulajadi Nya.
Agama yang mendukung falsafah sedemikian dikatakan merupakan sisa daripada sifat manusia primitif. Kemudian lahir pula agama yang bersifat rasional. Konsep bahawa wujudnya satu penjelasan yang munasabah terhadap seluruh kejadian menjadi asas yang terpenting.
Seorang teman saya memberi contoh kenapa wujudnya tuhan kerana rasionalnya adalah dengan wujudnya ciptaan. Logiknya mengikut hukum akal, setiap yang terwujud akan ada daya yang mewujudkan atau menyumbang kepada wujudnya secara tidak langsung. Dalam kes tanaman yang tidak menjadi, agama rasional akan berusaha boleh sahaja mempunyai sebab yang sama dengan agama tradisional, iaitu tanaman tidak menjadi kerana tuhan telah murka.
Namun dalam mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah tersebut mereka cenderung untuk mencari langkah yang sesuai. Jadi daripada menyembelih lembu atau kambing boer (haha) mungkin mereka akan membina saliran yang lebih baik.
Konsep penciptaan
Kita mengandaikan bahawa bukti wujudnya tuhan kerana ada penciptaan di bumi. Jadi setiap penciptaan akan ada yang mencipta. Dahulu ada orang pernah menyatakan bahawa ini bukanlah alasan yang kukuh unutk membuktikan kewujudan tuhan.
Kelemahan pernyataan diatas kerana ia akan menimbulkan persoalan, kenapa hanya penciptaan yang terikat dengan konsep 'ada penciptaan kerana ada pencipta'. Mengapa tuhan yang sedia wujud itu tidak terikat dengan konsep itu. Juga soalan lazim, adakah andainya manusia diatas dunia ini tidak menyembah tuhan (walau apa agamanya) kuasa tuhan akan berkurang.
Jawapannya sudah tentu tidak kerana tuhan itu tidak terikat dengan konsep keterbatasan. Jadi mengapa tuhan mahu mencipta manusia dan seluruh alam semesta. Soalan sama saya ajukan pada seorang rakan dari ras Caucasean.
"maybe He got nothing to do up in the heaven, He felt boring and created us..."
Apabila saya ajukan kepada teman Muslim, dia akan segera berdalil dengan nas-nas dari al-Quran yang menyatakan dengan jelas kewujudan Tuhan. Apabila ditanya kepada orang Kristian mereka juga akan berdalil dengan Holy Bible (sambil menyerang agama lain yang tidak relevan katanya).
Persoalan yang timbul, penganut dari setiap agama masing-masing mendakwa agama mereka yang paling betul. Selalu saya nyatakan kepada adik-adik saya, jangan sesekali beredalil dengan al-quran untuk melawan orang Kristian. Mudahnya kerana, jikalau kita tidak menerima walau secebispun dalil mereka yang dikutip dari Holy Bible untuk membuktikan Jesus itu oknum dariapda trinity. Begitulah halnya orang kristian tidak akan menerima dalil kita daripada al-quran.
Setiap penganut agama masing-masing yakin dengan kebenaran agamanya. Jadi agama siapa pula yang benar. Saya bukanlah mahu menanamkan fahaman pluralis dalam minda pembaca. Analogi yang selalu digunakan mereka, Tuhan itu cahaya, dan seluruh umat manusia diselubungi oleh selimut, setiap lubang yang di selimut itu mungkin berbeza tetapi sumber cahayanya masih dari yang sama. Langsung tidak masuk akal.
Asas kewujudan agama.
Bagaimana agama mula-mula timbul dalam pemikiran umat manusia. Berbalik kepada persoalan asas, agama itu sendiri sebenarnya satu bentuk sistem kepercayaan asas yang mengikat manusia kepada peraturan atau sebagai perlambangan kebergantungan kepada sebuah entiti (Tuhan).
Asas kepada kewujudan agama ialah adanya satu Kuasa yang tidak terbatas yang mengatur segala kejadian, mudahnya kita namakan Tuhan. Agama mungkin sekali terwujud kerana kebergantungan manusia kepada alam suatu ketika dahulu (rujuk artikel) .
Benarkah Tuhan itu wujud.
Suatu persoalan yang sangat besar. Bagaimana untuk kita membuktikan kewujudan tuhan. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya, kita tidak boleh menggunakan ayat-ayat daripada kitab suci agama kerana setiap orang mempunyai pegangan yang berbeza.
Dahulu saya pernah disuakan dengan pendapat yang mengatakan, kita semua berpegang kepada kepercayaan agama masing-masing hanya kerana minda kita dibentuk untuk berfikir sedemikian.
Contohnya, andai saya membesar dalam keluarga muslim, dikelilingi masyarakat yang bergama Islam. Maka secara automatik saya akan menerima secara total dengan kewujudan Tuhan kerana minda saya telah dibentuk dengan sedemikian rupa. Boleh jadi andai saya dilahirkan dalam keluarga yang tidak beragama saya akan mendapati amat sukar untuk menerima konsep keTuhanan yang kedengaran terlampau imaginatif.
(agama siapa yang benar?)
Jadi adakah sebenarnya agama dan tuhan itu sebenarnya tidak lebih daripada suatu konsep pemikiran yang kita warisi daripada generasi ke generasi. Bagaimana untuk membuktikan kewujudan tuhan yang sebenarnya. Ada segelintir daripada ahli falsafah barat menyatakan yang, agama itu sebenarnya hanyalah sistem kepercayaan yang diwujudkan untuk menangani kelemahan manusia dengan secara tidak langsung meletakkan punca kejadian kepada sesuatu yang lain. Contohnya apabila tanaman tidak menjadi kerana tuhan murka, bukan kerana teknik penanaman yang salah.
Pada pandangan mereka, segala kitab suci yang terdapat dalam agama tidak lebih daripada peraturan untuk memastikan masyarakat sentiasa berpegang kepada sistem agama tersebut. Agama itu pula dibentuk oleh masyarakatnya dan keadaan sosial mereka.
Contohnya apabila Moses menerima 'ten commandments' daripada Tuhan, 'Thou shalt not kill'. Peraturan sepuluh yang asas dalam agama yahudi itu tidak lebih daripada usaha untuk membendung perlakuan sosial mereka. Komposisi masyarakat yahudi ketika itu, petempatan mereka yang masih lagi dilereng gunung yang dipenuhi dengan puak-puak bertelagah. Maka 'thou shalt not kill' diwujudkan unutk membendung mereka berbunuhan. Soalnya adakah ia masih lagi relevan ditengah-tengah penduduk New York atau Sydney yang tersedia pasukan keselamatan awam untuk membendung masalah pembunuhan.
Agama itu sebenarnya sesuatu yang fleksibel sifatnya dan tidak statik. Agama boleh menerima perubahan dan menyesuaikan perubahan supaya relevan dengan trend semasa. Sebab itulah dalam agama sekarang telah terpecah kepada fahaman masing-masing, seperti juga agama lainnya. Semua ini berlaku kerana tuntutan perubahan masyarakat.
Jadi samada Tuhan itu wujud atau tidak, bergantung kepada individu itu sendiri untuk menilai sistem kepercayaan agama yang bersifat primitif atau menerima kepercayaan secara bulat-bulat.
Masalah yang dihadapi umat Islam ialah kerana kita sebenarnya hanya yakin dengan kewujudan Allah kerana minda telah dibasuh semenjak dari kecil untuk menerima kewujudan-Nya. Umat Islam takut untuk membuktikan kewujudan Allah. Akhirnya, seperti kisah saya ketika darjah empat tadi, kita akan tersepit antara 'kebenaran' dua agama. Apabila saya gagal untuk membuktikan secara rasional mengapa tuhan saya itu wujud.
Nietzsche berkata tuhan telah mati. Jadi mungkinkah tuhan 'pernah' wujud, tetapi kerana tuhan telah 'mati' dalam diri kita maka apa yang tinggal hanyalah konsep keagamaan yang bercelaru untuk menjaga kepentingan mereka yang terbabit menggunakan agama untuk kesenangan.
Puisi dan Peribadi
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan