Powered By Blogger

Sabtu, 7 Jun 2008

Falsafah yang kian punah 2 (Melayukah Mahathir?)








Falsafah yang kian punah 2 (Melayukah Mahathir?)

Sebelum saya mengutarakan apa-apa. Adalah lebih baik saya kira untuk para pembaca mengetahui kebebasan bersuara di Malaysia. Dipetik dari ‘Kebebasan Bersuara di Malaysia’ oleh Mohd Anuar Ibrahim, MATRA keluaran ke tujuh, tahun 1998, menyebut; “Hak bersuara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 10 di bawah Bahagian 2 (Hak Asasi) adalah seperti berikut:-
a. tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.
b. Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.
c. Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

Entry ini adalah kesinambungan kepada ‘Falsafah Yang Kian Punah?’ yang saya postkan sebelumnya. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya. Saya mahukan entry ini tulisan saya yang paling bebas. Dari segi apa? Saya pun tidak pasti, bergantunglah kepada penilaian pembaca.

Melayukah Mahathir?
Bagaimana? Adakah ini dikira provokatif? Mungkin juga tidak. Berbaur fitnah barangkali. Fitnah yang bagaimana? Oh! Itu Cuma melayu punya cakap-cakap. Ini artikel politik kah? Mungkin. Tetapi saya cuba untuk lari sejauh mungkin dari bau hanyir setiap parti politik Malaysia. Offensive? Entahlah. Ini artikel agamakah? Mungkin juga. Tetapi saya cuba berenang sejauh yang terjangkau dari bayang-bayang Islam Melayuisme.

Saya sudah cukup bosan dengan janji menteri yang muluk-muluk. Bahkan juga wakil rakyat (baca perkataan ‘wakil’ itu dengan nada sinis! ). Semuanya habuk! Wah nampaknya singa ini mengaum! Saya tidak mahu mengulas panjang perihal itu. Cuma lihat sahaja sekeliling. Kita negara islam bukan? (Bukan?). Jadi, nilailah sendiri sejauh mana perkataan Islam itu diimplementasi.

Kenapa tajuk itu sedemikian rupa? Kenapa artikel ini banyak sungguh tanda soal? Kenapa agaknya? Tanyalah pada akal anda. Kita selusuri kembali sejarah Melayu. Di sini saya akan titipkan kisah-kisah yang dipetik dari ‘Sulatus Salatin’(Hikayat Melayu) yang disalin dari naskah Tun Seri Lanang. Kenapa? KERANA SAYA RASA KITA SUDAH TERLALU KERAP MENCEDOK, BUKAN YANG MENUANG!.
“Maka diberikannya Krisyna Pandita dengan alatnya; tinggallah Nila Utama kerajaan di Palembang, dipangku Demang Lebar Daun. Setelah berapa lamanya baginda dalam kerajaan bergelar Seri Teri Buana, maka baginda pun hendak beristeri. Maka baginda menyuruh memanggil Demang Lebar Daun. Maka Demang Lebar Daun pun datang mengadap, duduk meyembah; sembahnya: “Apa kehendak duli tuanku memanggil patik?” Adapun Demang Lebar Daunlah memulai asal berbahasa kepada raja bertuanku berpatik itu serta meletakkan adat Melayu setengahnya.”

Kisah Demang Lebar Daun itu berlaku di kepulauan Sumatera. Nila Utama diambil dari Wan Empuk dan Wan Malini di Bukit Si Guntang di Palembang. Manjadi raja di Indera Pura. Dari insan yang bernama Demang Lebar Daun itulah menurut Hikayat Melayu asalnya adat-adat raja Melayu. Gelaran Yang Dipertuan itupun dialah memulakan. Belum jelas? Baca pula ini,
“seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia di fadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi. Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak meminta janji juga pada paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri teri Buana, “ Hendaklah oleh segala anak cucu hamba , jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu cedera, berundur hingga takluk negerinya juga.”

Itu merupakan sedikit sebanyak percakapan antara seorang raja dengan seorang pembesar. Apa yang ingin saya bawakan kepada anda sebenarnya cukup mudah. Saya pasti anda yang membaca ini melayu bukan? Disisi perlembagaan, mereka yang bercakap bahasa melayu, mengamalkan cara hidup melayu dan beragama Islam adalah MELAYU! Jadi saya rasa tiada masalah kalau saya bawakan perihal MELAYUISME.

Dialog antara Demang Lebar Daun dan Nila Utama atau Seri Teri Buana itu terdapat pada bahagian awal naskah Hikayat Melayu. Satu hal yang menarik, mungkin kerana kepentingan peristiwa percakapan antara mereka ia dititipkan dalam hikayat ini, kerana isunya bukan besar, cuma kisah Seri Teri Buana mencari isteri, tetapi kisah Citram Syah yang hanyut dan membuka negeri tidak dikisahkan pula, kata pengarang kerana mengambil masa yang panjang dan berjela ceritanya. Apa yang jelas dari dialog antara mereka ialah betapa ketuanan hamba Melayu ialah pada rajanya, kerajaan raja pula pada akar rakyatnya. Kita saling bergantung antara yang diperintah dan memerintah.

Beratus-ratus tahun dahulu, dari naskah ini kita diberitahu. Dahulunya hamba melayu (yakni rakyat raja) pernah memohon janji kepada raja, jikalaupun ada salah hamba Melayu, hendaklah tetap dipelihara. Hukum dengan sewajarnya. Raja Melayu pun berteguh janji jangan kiranya rakyat raja derhaka pada raja meski raja itu jahat pekertinya.

Melayu itu bangsa yang kaya adat dan adab. Tetapi satu hal yang menarik mengenai melayu walau ianya kuat berteguh pada akar resamnya. Tetap juga terbuka sifatnya pada arus perubahan (wind of change kata band scorpion). Sebelum Islam bertapak di nusantara. Melayu menerima agama hindu dan Buddha.

Namun badai dua kepercayaan itu tidak banyak merubah pantai masyarakat Melayu. Walau kesannya ada namun tidaklah berakar umbi. Ini jelas apabila islam bertapak. Melayu begitu rasi nampaknya dengan agama baru ini. Bahkan beratus-ratus selepas zaman Merah Silu membuka negeri Semundra. Islam itu terlekat kuat pada imej melayu.

Hinggakan keluar isu masuk Islam masuk melayu. Jadi? Inilah yang ingin saya jalinkan dengan dialog Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Ingat lagi kisah apabila sultan Melaka memeluk Islam seluruh isi negeri turut melakukan hal sama? Saya sewaktu mula-mula membaca dialog itu merasa kecewa dengan nenek moyang kita. Kepatuhan yang membuta tuli biar pada raja yang zalim? Maka saya merumus memang melayu itu kuat berteguh pada adatnya. Maka tidak hairan segala dakwah Islam adalah dengan cara asimilasi ke dalam budaya Melayu.
Namun sebaik menyelak muka surat sebelah. Saya tahu Demang Lebar Daun bukannya kerbau yang menghulur hidung, atau burung yang terbang ke sangkar.

“Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku.” Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu;” maka baginda pun bersumpah-sumpahanlah dengan Demang Lebar Daun.”

Nenek moyang rakyat raja itu akalnya panjang. Dalam nada lembut dia memberi amaran. Jikalau raja telah berbuat khianat pada janjinya. Maka rakyat pun khianatlah pada setianya. Dari itulah ada bidalan; “Raja adil raja disembah, raja zalim raja zalim raja disanggah”.

Jika bukan kerana Sultan Mahmud berlaku zalim. Adakah berani kiranya bagi Laksamana Bintan membunuh baginda? Mudahnya, apabila raja itu sudah tidak MARHAEN lagi, dari pandangan saya tidak ada salah bagi rakyat bangun memberontak bukan? Ini bukan artikel hasutan, saya amat menghormati institusi beraja.

Ambil sultan Pahang sebagai contoh (adakah contoh lain?) baginda memang seorang yang berjiwa rakyat. Daulat tuanku daulat tuanku daulat tuanku. Raja dalam konteks tulisan saya sebetulnya ialah pemimpin kabinet dan jemaah menteri kita. Bukan semua bagus, dan tidak semua korup. Jadi saya mengajak anda memberontak? Terpulang, saya hanya menulis. Tafsiran pada anda.
Apa halnya dengan Mahathir? Pemimpin yang seorang ini saya rasakan contoh yang cukup sempurna pada Melayu dan raja. Kenapa? Ingat lagi dahulu Dr. M pernah ada konflik dengan majlis Raja-raja. Sampai Tun Ghafar Baba menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua pihak. Gara-gara tindak tanduk Dr. M yang seolahnya membuang raja Melayu.

Derhakakah Mahathir pada raja? Kalau ditanya pada saya, Mahathir itulah Demang Lebar Daun abad ini. Betul tindakannya. Hamba melayu khianat pada raja apabila raja khianat pada janji. Melayu yang tidak hanya tunduk membabi buta. Berbaur hasutankah? Terpulang. Jadi saya rasa pembaca dapat menafsir bagaimana sikap Melayu dengan pemerintah. Mungkin agak kabur untuk melihat mesej saya, bahkan saya pasti ada yang kurang faham.

Tidak mengapa asalkan anda seorang Melayu. Jadi pada anda, Melayukah Mahathir? Orang yang lantang menentang waris (PM) yang dipilihnya sendiri (menangisi kesilapan masa lalu?) dan diam-diam berkonflik dengan Majlis Raja-raja.

Tetapi apa yang patut dipuji orang tua ini keluar dari parti UMNO. Saya anti kerajaan? Tidak. Terpulang pada anda. Saya cukup jelik melihat poster pilihanraya, “Kalau nak perjuangan pilih UMNO”. Perjuangan apa? Kononnya untuk orang Melayu, kononnya. Saya rasa ahli UMNO perlu memohon ampun pada orang Melayu. Teman kata Umno itu parti untuk orang-orang elit melayu. Kita yang dibawah sekadar menyapu karpet merah mereka. Pemimpin dalam istana. Rakyat dalam kandang selayaknya rumah mereka. Ini perjuangan? Saya orang Pakatan Rakyat? Heh! Pembangkang yang tidak tentu hala! Apabila harga minyak naik mereka mengajak kita berdemonstrsasi, apa dengan laungan retorik kosong di tepi jalan itu mampu mengubah pasaran dunia?. Jadi saya dimana? Terpulang. Saya hanya menulis. Anda yang menilai. Tetapi apa sekalipun. Saya tetap orang Melayu disisi perlembagaan, walau bukan dari susur galur darah.

Raja Maluku meminjam kuda,
Meminjam kuda pada maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
Muka surat 180, Sulatus Salatin (hikayat Melayu), penyelenggara naskah, A Samad Ahmad 1979©, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sekarang kita Melayu ialah masyarakat SUBSIDI. Subsidi dihapuskan kita bising, kenapa? Katanya kerana bangsa lain kaya raya. Jadi salah siapa? Bukankah dulu orang Melayu pelayar yang gagah? Ingat Panglima Awang, yang belayar bersama Ferdinand de Magellan mengelilingi dunia. Adakah dahulu dia belayar atas subsidi minyak kerajaan Portugis? Jangan cepat melatah. Wakaupun latah itu hanya pada bangsa Melayu tidak pada bangsa lain. Mana falsafah orang melayu sekarang? Kian punah dihenyak dan dirobek oleh batang tubuh kita sendiri. Fikir-fikirkanlah…

1 comments:

PopularOpinion berkata...

Panglima Awang belayar dengan minyak subsidi Alfonso de Albuquerque. Ini kerana ia berjaya membantu Alfonso de Albuquerque menawan Melaka. Panglima Awang bukan seorang hamba. Ia seorang pegawai tinggi dalam kesultanan Melaka. Cuma dia bersekongkol dengan Alfonso de Albuquerque supaya Melaka ditewaskan.