Powered By Blogger

Rabu, 11 Februari 2009

apa sudah jadi? Penipuan yang tidak sudah-sudah

Latar: politik sudah jadi magik, sihir lama naik semula, entah siapa bomohnya tapi semua manusia-sia rambang mata dengan pangkat dan kuasa. Biru, Hijau, Kuning, Putih semua warna hita sudahnya.
Dulu heboh di Satun, Yala, Narathiwat dan Pattani isu polisi Thai Ratna Niyun celaka Phibul Songram yang menghapuskan kebudayaan Melayu (baca:ISlam).




Kemudian isu perebutan wilayah dengan kerajaan Buddha pimpinan perdana menteri yang sering bertukar tangan (baca:digulingkan) heboh diperkatakan.




Thaksin kemudian disebalik pelbagai kemelut dan kekalutan pelbagai suara-suara sumbang dari hutan abad ke tiga muncul dengan kemenangan MAJORITI dalam pilihan raya umum Thailand.



Apa yang lebih memeranjatkan terutamanya kebolehan Thaksin untuk muncul sebagai Perdana Menteri pilihan ra(k)ya(t) selepas beberapa tahun sebelumnya rakyat menyaksikan PM dari mereka yang merampas kuasa.




Maka dalam banyak hal pula tentulah ada baiknya dari sisi pemerintahan Thaksin itu yang melayakkannya dipilih rakyat.





Lupakanlah dahulu cerita rasuahnya atau isu penjualan aset Shinra Corp. Sebetulnya Thaksin yang datang seperti Messiah bagi penduduk pedalaman Thai dengan polisi satu daerah satu produk berjaya memulihkan ekonomi Thai. Bahkan labih itu juga disukai rakyat.



Seorang teman dari seberang lewat emelnya memberitahu, rusuhan di Bangkok oleh golongan bandar tidak semestinya menggambarkan pendirian seluruh tanah jajahan Raja Bhumibol. Bahkan penduduk kampung dan penghuni desa yang menikmati silangan cahaya baru dalam hidup mereka punya kepercayaan teguh pada Thaksin.


Menurut teman itu, mungkin dari kerana orang Bangkok tidak pernah merasa makan nasi di dalam tempurung mereka lebih gemar mencari dimana silapnya Thaksin.


Memikirkan hal itu, nampak ada benarnya juga. Setelah Samak digugurkan, Somchai dilihat pengganti berkaliber untuk menghilangkan prejudis rakyat Thai (?) terhadap legasi Thaksin. Namun nyata mereka tidak juga berpuas hati, Abbhisit pula yang muka baru penyandang perdana menteri. Masih juga ada rusuhan yang berlaku untuk menuntut pilihan raya diadakan semula.
Soalnya sampai bila, adakah kerana kehendak rakyat (?) yang terlalu diturutkan mereka menginginkan perubahan itu dalam masa setengah hari.

HIDUP MELAYU !!! (?)

Kerajaan sepatutnya lebih tegas dalam hal ini, er saya maksudkan kerajaan Thai, bukan kerajaan pusat.

Nyahlah penderhaka (baca: Karpal) dari bumi MALAY-sia

Nyanyi pungguk

Latar: saya memikirkan ke mana perginya hati saya, apakah hati yang memproses itu hempedu. Barangkalinya juga hati itu otak saya atau juga jantung saya. Entah, puas sudah saya memikirkan di manalah letaknya hati saya. Masih juga saya tenggelam dalam persoalan,


"Siapa ada jumpa hati saya?"
(yang masih mencari-cari)


Nyanyi pungguk
MUHAMMAD FAISAL KALANTANI

Pungguk yang saban malamnya bernyanyi
Di dahan tembusu belakang rumah
Benarkah kerana rindunya pada bulan

Betapa pesona pun soalnya pungguk tak pernah peduli
Barangkali bernyanyi ia untuk ayah yang selalu tidur
Tanpa sempat usai ceritanya tentang keringat
Barangkali- itu sahaja pungguk bernyanyi

Isnin, 9 Februari 2009

Kelkatu

"Siapa ada jumpa hati saya" Bahagian 2


Rindu pada bulan yang resah

tak pernah ia tahu cahya itu palsu

pada api dian yang sering ia tarikan

lenggok akhirnya melodi kematian


pada serakan cahya pesona apakah

yang kelkatu sering tertipu

tidak akan bisa ketemu


biar kelkatu tahu

cahya-sering juga menipu
MUHAMMAD FAISAL KALANTANI

Jumaat, 6 Februari 2009

Bulan

Bulan Dipagar Bintang:


Malam bulan dipagar bintang
Makin indah jika dipandang
Bagai gadis beri senyuman
Pada bujang idaman
Duhai kasih ingin dimanja
Dengan cumbuan mesra
Untuk pelipur lara
Penawar dik asmara



Mm .... mm .... mm .... mm ...Mm .... mm .... mm .... mm ...


Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam
Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi
Senilagu : P. Ramlee
Senikata : S. Sudarmaji
Filem : Pendekar Bujang Lapok



Dalam dua tiga hari ini saya asyik sahaja terkenangkan bulan. Puisi pun tentang bulan. Ahh, pesona bulan mungkin kerana saya simpati padanya


(kenapa lelaki dikecewakan wanita dan wanita dikecewakan lelaki pula, ada hubungan saling yang bersilang antara dua jantina, hidup kadang memeningkan bukan?)

Rabu, 4 Februari 2009

"Siapa ada jumpa hati saya?"

"Siapa ada jumpa hati saya?" Bahagian 1




Latar: Mencari-cari puisi Sapardi di internet saya ditemukan dengan beratus pula puisi penyair Indonesia. Rendra, Sutardji, Chairil Anwar antara nama yang menekunkan saya di hadapan skrin.

"Faisal?" Rahimidin Zahari (mantan mpr, penyair mapan)
"erk, ya.." tiga pagi di hentian Merapoh, Pahang tidak seperti selalunya itu malam. Saya berborak dua tiga waktu dengan Abang Im. Berkongsi lelucon pengalaman semasa dia membimbing kami (MPR O8) tempoh hari. Manusia-sia jiwa kacau.

"Salam, terserempak Singa Kelantan di Merapuh, tapi tak garang" mesej dari abang Im.
Mesej dari Kak Rashidah menerjah (kerana gayanya bagi saya sedemikian rupa).

Atas bas, kembali sunyi yang membaluti ruang. Suara pak cik pemandu bas sahaja yang terdengarkan, entah apa sahajalah yang dimonologkan dia. Berbicara dengan pintu atau sekadar menegur malam barangkali.
Atas bas, saya memandang pada cermin depan, pukul dua pagi. Tayar hitam menjilat jalan, rasanya seperti dilambung-lambung. Ada dua tiga kupu-kupu atau barangkali kelkatu saya tidak tahu.

Girangnya terbang kepada lampu bas. Akhirnya mati di penapis udara (atau barangkali boleh ditulis juga dilanggar bas).

Saya masih kosong, sedangkan saya telah meyaksikan berbelas kali kematian (kelkatu atau kupu-kupu?) sepanjang perjalanan.
Apakah matinya tidak bermakna hanya kerana dia seekor serangga?
Kemudian saya tercari-cari dimana hati saya yang kasihankan kepada segala hidupan bumi itu.

Puisi kelkatu terilham, kepada kak Rashidah sekali lagi saya unjukkan...

Puisi buat sekuntum bunga

Puisi buat sekuntum bunga
(setelah derita)

Pagi ini
kubuka jendela
Dan kau sekuntum bunga
Mekar direnjis embun
Menguntum senyum buatku

Tetaplah kembang segar
Kerna esok saatku buka jendela lagi
Kelopakmu masih bisa
tersenyum buatku

MUHAMMAD FAISAL KALANTANI
(Mingguan Malaysia, 2 Februari 2009)