Powered By Blogger
Memaparkan catatan dengan label Keluhan rasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluhan rasa. Papar semua catatan

Khamis, 11 Jun 2009

INi kata BukAn MElayu TAda BETul LA?

Tiba-tiba FAM bagi kebenaran pasukan Kelantan main di Stadium .

Tiba-tiba yang tiba entah macam mana saya kira arahan dari pihak atasan juga kerana penangan pillihan raya Manek Urai yang tidaklah seberapa.

Sukalah ANUAR MUSA kehkehkeh!

Dari arah Gua Musang kereta berderu-deru datang menyerbu pergi Kota Bharu sebab di Kelantan jalannya cuma satu yang lurus ke situ ah ingatkan sebab kes Tok Guru yang anaknya kalah bertanding tapi katanya sibuk mesyuarat muka baru jadi calon di hulu.

Kata orang UMNO di kedai kopi orang PAS "BODOH!!!" berkali-kali bukan pada pemimpin negeri atau akar umbi tapi pengundi yang asyik termakan janji calon parti yang entah dari mana (akibatnya entah siapa-siapa-siapa-siapa entah entah yang menjadi YB).

Orang PAS pula cakap orang UMNO "BARUA!!!" sebab memerintah negara tak ikut ajaran nabi menyumpah seranah YB-YB-YB.

Kita orang Kelantan yang tersepit antara dua-dua-dua-dua parti yang entah sampai bila nak la nak berhenti.

Sembahyang jumaat lepas daripada jemaah yang melimpah keluar sampai ke tangga masjid tapi bila habis imam bagi salam tinggal dua saf yang ikut buat sembahyang hajat untuk al-Sultan kita yang sakit padahal selalu menyanyi dalam lagu negeri tiap hari Ahad sampai budak darjah satu pun tahu,

"Lanjutkan usiaaa Al-sultan kamii...sultan kelantan Rajai kami...."

Tapi katanya dalam istana pun sudah ribut taufan sebab ada kahabar sultan dah pakai heart-lung machine tapi sebab emm emm emm emm emm nak tanah rakyat
emm emm emm yang perempuan tu emm emm emm
orang Siam ke emm emm emm.

Seperti yang rakyat maklum, tengku 'tuttttt' yang suka mengambil tanah rakyat tu takut nak melantik Tengku Faris (opppsss!) jadi Sultan sebab nanti kena lah pulangkan tanah orang-orang-orang kampung.

Sebabnya juga dengar cerita Tengku F ada berkunjung ke Gua Musang sebab bertemu orang asli yang mengadu dirampas tanah oleh Tengku 'tutttt'. Tengku 'tuttt' itupun katanya tak berkenan nak melantik Tengku Faris yang bininya pun khabarnya sudah diceraikan sebab tak berkenan dengan pilihan bondanya (oppppsss!).

Tapi sekarang pun dah canggih Kelantan sebab nak pergi Gua Musang pun lalu Singa pura dulu.

SEbab apa? emmmm sebab tangku 'tuttt' banyak jual tanah pada pelabur Singapura sampai untung macam-macam hasil tanah mengalir ke selat Tebrau.

Patutlah Nik Aziz tok guru kita pening tak cukup duit negeri.

Tapi rasanya Nik Aziz lebih baik jadi guru agama dari memerintah negeri.

Oppppsss bukan kata saya tapi suara rakyat sebab majlis daerah serta D.O -D.O-D.O langsung tak dipantau kerjanya.

Macam kata Hishamudin Rais

KAH KAH KAH..

kah kah kah… INI BERITA PELIK… kah kah kah..

kah kah kah… SATU MALAYSIA MENJADI PELIK… kah kah kah..

kah kah kah… EKONOMI PULIH TAHUN HADAPAN…kah kah kah..

kah kah kah….BILA PULAK EKONOMI KITA SAKIT… kah kah kah..

woit… DULU CAKAP : OUR ECONOMY HAS NO PROBLEM… kah kah kah..

woit….DULU CAKAP : OUR FUNDAMENTAL IS STRONG…. kah kah kah…

kah kah kah… APA SUDAH JADI… APA PUNYA TUUUUURRRR…kah kah kah..

kah kah kah… NAK KELENTONG… KELENTONG BETUL BETUL… kah kah kah...

Jumaat, 6 Februari 2009

Bulan

Bulan Dipagar Bintang:


Malam bulan dipagar bintang
Makin indah jika dipandang
Bagai gadis beri senyuman
Pada bujang idaman
Duhai kasih ingin dimanja
Dengan cumbuan mesra
Untuk pelipur lara
Penawar dik asmara



Mm .... mm .... mm .... mm ...Mm .... mm .... mm .... mm ...


Malam bulan dipagar bintang
Tambah seri cuaca malam
Murni sungguh ciptaan Tuhan
Bulan bintang lampu alam
Andai kata bintang menyepi
Bulan tidak berseri
Malam menjadi sunyi
Tidak berseri lagi
Senilagu : P. Ramlee
Senikata : S. Sudarmaji
Filem : Pendekar Bujang Lapok



Dalam dua tiga hari ini saya asyik sahaja terkenangkan bulan. Puisi pun tentang bulan. Ahh, pesona bulan mungkin kerana saya simpati padanya


(kenapa lelaki dikecewakan wanita dan wanita dikecewakan lelaki pula, ada hubungan saling yang bersilang antara dua jantina, hidup kadang memeningkan bukan?)

Rabu, 20 Ogos 2008

Pauh oh pauh...

Pauh oh pauh…

Hari ini kelihatannya Ustaz Saidi tiada di rumah. Maka secara automatiknya Tuk Wanlah yang menjadi imam di surau kampung. Hari itu pun memang tidak ramai jemaah, Pak San, Pak Su Lah, dan Cikgu Man. Semuanya jemaah senja Cuma saya sahaja yang masih meniti Subuh barangkali.

Usai sahaja solat Asar Pak Su Lah cabut meninggalkan surau yang bercat hijau di tepi simpang itu, betul-betul pula di hadapan rumah saya. Tuk Wan buka cerita fasal orang eksiden, Mamat seperti yang saya curi-curi dengar. Ceritanya Mamat terlanggar belakang sebuah kereta yang juga mengikut ceritanya tak memberi isyarat berhenti di simpang.

Mungkin kerana merasakan Mamat itu masih juga remaja, makanya pemandu itu menyalahkan Mamat atas ‘kecuaiannya’. Rasanya kita perlu menuntut emansipasi ke atas semua rakyat Malaysia! Hanya disebabkan perbezaan umur dijadikan ukuran dan faktor oleh pemandu untuk menyerlahkan dia yang patut dihormati? Pemikiran abad ke tiga barangkali. Mungkin sahaja patut dicampak pada zaman dinasour.

Itu cerita Mamat. Habis cerita Mamat, dari jauh kelihatan pula dua tiga ekor kera duduk tercongok di atas jalan betul-betul di hadapan rumah saya. Ingat dahulu saya pernah bercerita yang ibu saya sering gundah lantaran beruk, kera, lotong dan entah spesies apa lagi yang menginjak zink rumah saya. Hingga terkopak dan bocor disana-sini. (Wakil rakyat! Dimana anda?!)

Kera-kera itu pula sepertinya langsung tidak takut dengan manusia. Bahkan menyeringaikan giginya konon untuk menakutkan kita pula. Sekali dijerkah, sekali pergi, dua tiga kali datang kembali. Memang jenuh menghambat kera-kera itu.

Dijadikan ceritanya, dihadapan rumah saya ada berderet pohon buah-buahan. Tapi yang paling menjadi masalah ialah pohon pauh (mempelam) yang berada dihadapan rumah. Pohon itulah yang dijadikan pusat transit oleh kera-kera yang datang dari rumah arwah Mak Su Esah sebelum melompat ke rumah saya.

Dahulu pernah ada ura-ura mahu menebang pohon itu tapi entahlah, sayang katanya masih juga lebat berbuah, produktif dengan hasilnya. Walaupun buahnya tidaklah sebesar mana tapi pohon itu sepertinya menimbulkan polemik panjang dalam kalangan keluarga kami.

Tambahan pula buahnya selalu sahaja diambil kera ataupun joggers yang rata-ratanya kaum cina. Maklum pohon itu letaknya ditepi jalan. Maka setiap kali mereka melintas di hadapan rumah saya. Ada yang berpura-pura menggeliat dan mengangkat tangan tinggi dan, ‘zaappp!!!’ dua tiga biji masuk poket.

Tidak juga di kampung saya, bahkan di Seberang Perai pun hangat isu ‘Pauh’. Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang kian hangat dengan ceramah-ceramah yang rata-ratanya menabur benih tebu yang hanya subur sewaktu berkempen. Retorik kosong dilontar dari rostrum. Tak terpermanai hebatnya dan semangat yang ditonjolkan.

Dan sekali lagi, entah berapa ramai yang termakan janji-janji manis berbusa dimulut. Saya sudah jenuh dan muak dengan gimik politik, kalau betul mahu jadi pemimpin, maka jadilah pemimpin. Bukan pemidato yang hanya hebat bercakap.

Pauh di kampung saya direbut kera dan joggers, ‘pauh’ di Pulau Pinang direbut mereka-mereka yang tidak ubah seperti ‘itu’. Merebut buah yang kecut dan masam di negeri yang dikuasai orang-orang cina. Ini bukan libel! Tidak usahlah digembar-gemburkan sedemikian rupa. Ada baik kiranya perhatian yang sedemikian diberi kepada mereka yang lebih memerlukan.

Pauh oh pauh. Buah yang kecil tapi isunya besar. Tidaklah Tuhan menjadikan sesuatu itu untuk sia-sia. Surah Ali Imran ayat 191. Ciri-ciri ulul albab. Maka berfikirlah tentang ciptaan Allah s.w.t. Ingatlah Allah dalam kedaan berdiri, duduk mahupun berbaring. Itulah ulul albab!!!

Rabu, 28 Mei 2008

Aku Pesilat

Dalam permulaan cuti penggal tidak banyak yang boleh dibuat. Saya pun kekontangan idea (bak kata Syafiqah Athirah) apa aktiviti yang hendak dibuat. Di rumah, yang menceriakan suasana cumalah ciak-ciak burung, melodi biola cengkerik, hembusan pawana dari arah Sungai Kelantan (rumah saya betul-betul di hadapan sungai ini) ditambah dentuman zink yang diinjak beruk, monyet, dan entah spesies apa lagi yang membuatkan hati ibu saya gundah gulana mengenangkan nasib teratak buruk kami (dan janji wakil rakyat yang ditabur! ). Cukup mendamaikan bukan?

Namun saya sedar bahawa ketenangan itu hanyalah kekosongan yang tiada makna. Sama seperti menikmati mi sup di Hentian Putra yang berharga RM3 itu. Enaknya cuma di tenggorok. Berada di rumah memang seronok, setelah hampir dua bulan berada di peradaban perkotaan. Namun, saya masih berasa kekosongan. Mencari-cari asbab kekosongan menemukan saya dengan sesuatu.

Rupanya saya putus hubungan dengan ikhwah. Meladeni jiwa yang kosong di tepi tingkap rumah, saya menerima mesej balas (mesej saya sebelumnya bertanyakan kedamaian yang dicarinya) daripada Halimi Abdul Aziz

(http://generasighurabaq.blogspot.com/)


“Emm,dptlh ckit tp rasa mcm xcukup,mmg begitulah iman kt yg kdg naik kdg turun,mudah2an mutaba’ah kt jd benteng diri dn hubungi ikhwah lain agar kembali terasa.Allah sentiasa bersamamu tika dikau ingin bersama-Nya.;-) ” Terima kasih akhi.

Saya tinggalkan cerita akhi Halimi dan mesejnya. Sebetulnya saya baru sahaja selesai mengikuti Minggu Perkampungan Penulis Muda di Kuantan Pahang, terima kasih kepada Hafiz dan ‘syarikatnya’ yang cukup meyakinkan, Naqib yang ceria dengan sterika, Din dan senyumnya, Amin dan kerabunya, Haikal dengan wajah selamba, Razali dengan politik partisannya, Sadiq yang selalu berkunjung ke bilik, Kak Nadia yang banyak bercakap, Ony yang selalu ketawa, Anis yang ‘sporting’, Munirah yang malu-malu, Erin yang kurang malu, Aliff dan kelatenya dan semua peserta kerana memberi sudut baru dalam perspektif penulisan saya.

Berbalik kepada cerita silat. Penglibatan saya dalam Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi umpama membakar kembali api cakna budaya yang semakin padam dan sirna dalam jiwa saya. Terutama selepas melihat keruwatan sosial bangsa sendiri membuatkan saya malu untuk mengakui diri saya berdarah keturunan Tok Janggut (kata bapa saya Tok Janggut datuk saudara YB Alwi, beliau pula ada bau-bau bacang dengan datuk saya). Malah muka saya yang agak mewarisi kekacakan melayu arwah moyang saya (^_^) (Tok Yaaka dikatakan mempunyai 13 orang isteri! ) tidak menafikan kemelayuan saya.

Kali terakhir saya menulis mengenai sikap masyarakat Melayu ialah pada entry pertama saya. Sedihnya hati ketika melihat sekumpulan pemuda ‘MELAYU!’ yang ditemu ramah wartawan dari rancangan ‘IN-TREND’ terbitan ‘RTM2’ yang ketika itu membicarakan tajuk fesyen remaja. Maka pemuda itu dengan bangganya menayangkan rambutnya yang berwarna jingga itu (teringat entry ‘Sehari Lembu di Bandar’), bibirnya yang ditindik,dan baju belang-belang (dah macam dekat zoo negara).

Balik ke studio,dua orang pengacara (perempuan dan lelaki dua alam) pun mengulas mengenai fesyen yang menurut mereka menjadi kegilaan. Tidak cukup dengan itu, mereka menyebut beberapa contoh fesyen yang PATUT menjadi IKUTAN supaya kelihatan ‘UP TO DATE’.Tapi kata seorang teman apabila diajukan hal ini,
“Itu semua budaya barat! Mengapa harus dituruti! ” Katanya bersemangat.

Namun saya terfikir, ‘BUDAYA’ ? Saat menelaah Dewan Sastera keluaran April. Saya tertarik pada kolum ‘Kalam Pujangga’ oleh S.Othman Kelantan (Sasterawan Negara). Pak Othman ada memberi konotasi budaya. Budaya lahir dari dua kosa kata. Yakni ‘buddhi’, perkataan Sanskrit yang membawa erti fikir atau intelek atau yang seerti dengannya dan ‘daya’ yang membawa erti usaha atau juga yang seerti dengannya.

Maka kerana itu,apabila kita membicarakan mengenai budaya masyarakat melayu, kita tidak akan lepas dari benda tradisional yang kuno dan kolot itu. Sebenarnya disitulah silap kita, apabila kita terlalu mengangkat ‘budaya’ barat. Maka secara tidak langsung ‘mengtradisonalkan’ budaya kita sendiri. Kerana kita tidak cakna kepada falsafah budaya masyarakat Melayu. Maka kita lupa terus kepada makna budaya yang tinggi itu.

Sekadar menyebut beberapa contoh, butang baju melayu cekak musang itu kenapa lima? Falsafah rukun Islam yang lima itulah yang diterap nenek moyang. Baju melayu Teluk Belanga pula berbutang satu pula?. Konsep esanya Allah itulah jawapannya.
Mengapa rumah tradisional beranak tangga lima? Supaya nanti kaki kanan yang dijejak paling akhir.

Selama ini pernahkah kita menyedari ketinggian pemikiran masyarakat Melayu, nenek moyang kita yang dicop kolot itu? Bahkan untuk membina sebuah rumah ada konsep alam yang harus dituruti. Ibu rumah,perabung bertingkat,tiang seri dan lantai. Setiap satunya adalah mesej pemikiran arwah moyang kita untuk generasi kini.

Hidup ini hanyasalah seperti sebuah ludruk yang berjela-jela pementasannya. Tanyalah juga kepada mana-mana pengamal silat melayu yang lain, Faridul Fawzan (http://tarbiyyatulummah.blogspot.com/) contohnya. Setiap dari gerak tari atau gerak menyerang dan menahan atau menangkap ada falsafahnya. Seni cekak mengajar saya dalam bergaduh juga kita tidak boleh bersikap kurang ajar kepada musuh. ‘Kesopanan’ itu pula dijelmakan cukup indah melalui gerak tangan yang cukup tangkas bermain mata musuh. Begitulah rendah diri seorang Melayu. Tidak perlu sehingga orang memijak kita.

Bandingkan pula dengan WWE. Saya pun pening apa yang dibuat penggusti-penggusti tersebut. Kadang rasa geli hati memanjat langit hati. Mana tidaknya? The Undertaker misalnya, intro masuk ke gelanggang cukup menakutkan.

Psikologi musuh dimainkan cukup hebat. Namun saat gelanggang dibuka. Batista terus menumbuk Undertaker dan membelasahnya mati-matian. Undertaker terus menggali kubur sendiri. Teknik bertumbuk pun jelas nampak sandiwaranya, menonton WWE tidak ubah seperti menghadiri opera cina. Apa yang hebatnya barat? Sebetulnya kerana kekontangan (Athirah jangan marah) budaya, mereka melakukan sehabis baik (cogan kata Pengakap) untuk menyebarkan ‘Budaya era Barat Baru’.

Jadi apalah sangat gejala kuning (tidak selayaknya digelar budaya!) orang barat yang tidak membawa makna itu jika dibandingkan dengan budaya warna-warni melayu yang punya mesej Islam yang kuat pada segenap tatacara hidup.
Baliklah kepada akar dan ras kita. Jangan jadi seperti cerita kera yang membuang buah mangga kerana tertarik dengan keindahan bunganya.

Ingatlah janji Allah bahawa manusia itu makhluk yang mulia “Sesungguhnya Kami muliakan Bani Adam dan Kami angkut mereka dengan kenderaan didarat dan dilaut serta Kami beri rezeki mereka dengan baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami jadikan dengan kelebihan”<17:70>

Tapi jangan sesekali lupa “Adalah manusia itu satu umat, lalu Allah mengutus beberapa orang nabi untuk memberi kabar gembira dan kabar takut, dan menurunkan Kitab bersama mereka itu dengan kebenaran, supaya Dia menghukum antara manusia,tentang apa-apa yang mereka perselisihkan. Dan tiada yang berselisih melainkan orang-orang yang mengetahui Kitab itu,setelah datang kepada mereka beberapa keterangan,kerana berdengki-dengkian sesama mereka…”<2:213> orang-orang barat yang kita sanjung itulah yang dimaksudkan, yang membawa gejala yang dijadikan indah pada pandangan mata kita.

“Maka Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran yang mereka perselisihkan dengan izinNya ...”<2:213> Kekalkanlah diri dengan iman dan pohonlah kepada Allah moga kita termasuk golongan yang ditunjuki, tapi jika tersesat jangan khuatir kerana
“Dan Allah menunjuki orang-orang yang dikehendakinya kepada jalan yang lurus”<2:213> yakinlah dengan janji Allah.

Dia itu maha Penyayang. Doakanlah agar kita semua,diri saya dan pembaca juga seluruh umat Islam tetap berada dalam kalangan mereka yang bersyahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan,menunaikan zakat, dan mengerjakan haji.

Kita tidak tahu sampai bila hati ini akan terus mampu bertahan daripada tenggelam di sungai peradaban atau ditunda arusnya dan jika itu yang terjadi dan kita hanyut moga Allah masih sayang kepada diri kita yang dipenuhi nanah dosa. Intansurullah hayan surkum wayu thabbit aqda makum .

Oh ya, perkataan moden itu sebenarnya diambil dari perkataan ’mudun’ dalam bahasa arab yang berkonotasi tamadun. Jika benarlah mereka yang memacu dunia, mengapa harus mengutip istilah negara padang pasir yang ‘uncivilised’ itu. Barat… Fikir-fikirkanlah.


Khamis, 29 November 2007

RASALAH MASINNYA BUDU

“saya kecewalah jika nilai rakyat Kelantan hanya boleh dinilai dengan pohon depu,kalau nak kami boleh hantar pakar-pakar kami untuk membantu!”ucap naib ketua pemuda UMNO,Khairy Jamaluddin dalam nada menyindir ketika ditemu bual dalam satu majlis.Kata-kata sindiran terhadap kerajaan Pas kedengaran begitu pedas di telinga saya.Tulisan saya kali ini bukanlah bermaksud untuk mengecam mana-mana pihak jauh sekali meghina kerajaan pusat,tetapi kalau kalau ini pun dianggap sebagai menyelar kerajaan nampaknya masyarakat perlu berfikir kembali dalam pilihanraya umum.Susur galur keluarga saya tidak lepas dari diwarnai riak-riak politik tanah air,saya sendiri terdedah kepada suasana politik sejak dari umur 6 tahun.Ketika rakan saya asyik membicarakan rancangan kartun di televisyen saya telah pun didedahkan dengan gerakan reformasi,perhimpunan 100 000 rakyat,kes khalwat Mat Sabu,Angkatan Perpaduan Ummah dan segala macam lagi senario politik antara tahun1980an hingga akhir 1990an.
.Ini sedikit sebanyak membantu saya untuk berfikir sedikit advance daripada rakan sebaya di Kelantan terutamanya dalam arena politik.
Arwah datuk saya(semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya) merupakan ketua cawangan UMNO bahagian,manakala bapa saya sendiri setiausaha UMNO cawangan.
Jadi tidak keterlaluan jika saya katakana yang keluarga saya merupakan penyokong kuat UMNO.Namun itu tidak bermakna saya juga menyanjung kerajaan pusat atau mengecam kerajaan Pas.Saya lebih suka mengambil sikap berkecuali dalam hal ini.
Berbalik kepada ucapan Khairy tadi,apa yang saya persoalkan adalah kenapa kata-kata yang sebegini boleh terpacul daripada mulut menantu perdana menteri yang terkenal dengan sikap keterbukaan dan ramah(Pak Lah).
Suka saya untuk mengingatkan kembali sejarah politik kelantan.Sejak merdeka hingga tahun 1980an,Kelantan sudah menukar kerajaan sebanyak EMPAT kali.Bayangkan betapa demokratisnya kami!Rakyat kelantan dikenali oleh pengamat politik tempatan sebagai rakyat yang ada ‘kuasa rakyat’ dalam erti kata sebenar.Pas pernah ditolak pada tahun 1978 tetapi pada tahun 1990 UMNO tumpas tanpa memenangi sebarang kerusi pun!Dalam buku tulisan Wira Sakti menyebut “Rakyat kelantan bukan sahaja mampu menumbangkan kerajaan secara demokrasi malah dapat juga menumbangkan kerajaan yang tidak disenangi tanpa melalui demokrasi,yang mana kerajaan pusat pernah memerintah secara ‘darurat’ iaitu kerajaan negeri langsung kehilangan kuasa.”Begitulah ajaibnya rakyat Kelantan.Bagi yang bukan anak jati Kelantan mungkin mencari punca dalam pandangan yang berbeza terhadap keadaan ini.Jadi kalaupun kerajaan Pas bakal tumbang dalam pilihan raya umum nanti,mereka tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menawan kembali Kelantan.

Tok Guru Nik Aziz
Satu-satunya menteri besar yang pernah mengimamkan rakyat pimpinannya di stadium dalam majlis solat hajat di Malaysia serta menteri besar yang berserban(Ulama’)di Malaysia.Saya mengenali beliau(lebih mesra dengan panggilan ‘tok guru’)sejak daripada peristiwa reformasi 1998,bukan sahaja sebagai seorang menteri besar tetapi seorang ulama’ yang begitu prihatin terhadap pembangunan islam,jawatannya sebagai mursyidul am Pas tidak menghalang untuk bersikap merendah diri ketika bertemu ulama-ulama tempatan.Mungkin ramai non-kelantan di luar sana melihat beliau sebagai menteri besar yang kolot dan gagal dalam menerajui pimpinan.Namun satu fakta jelas ialah beliau dihormati oleh segenap masyarakat kelantan,dan suatu hakikat ialah rakyat kelantan tidak melihat Nik Abdul Aziz sebagai seorang menteri besar tetapi sebagai seorang ulama besar.Jika anda pernah bertemu dengannya serta berpeluang bercakap tentu anda akan terpegun dengan peribadinya yang mesra serta gemar berlawak ini.Ulama yang telah mencorakkan pemikiran islami kepada generasinya.

Kerajaan pusat
Umum melihat Kelantan sebagai negeri yang paling mundur di semenanjung.Suka saya untuk membawa anda kepada factor sebenar kepada ‘kemunduran’ ini.Pas memerintah kelantan sekitar 17 tahun berikutan kemenangannya dalam pilihanraya umum 1990.Namun dalam tempoh itu tidak banyak kemajuan yang direncanakan.Lihat pula Terengganu,tidak sampai 10 tahun,berbagai-bagai pembangunan digembar-gemburkan.Satu hal yang jelas yang tersirat sebenarnya betapa kerajaan telah menggunakan segala macam saluran untuk mengelakkan tumpuan rakyat kepada Kelantan.Utusan Malaysia,RTM dan segala macam lagi saluran media seolah-olah disekat untuk mempromosikan Kelantan,seolah-olah dalam diam rakyat Malaysia ditegah untuk melancong ke Kelantan.Betapa ajaibnya terengganu ketika di bawah kerajaan pas seolah-olah tidak ada daya tarikan,tetapi setelah BN memperoleh kemenangan tiba-tiba sahaja muncul manusia-manusia asing menjadi hero dalam merencanakan pembangunan kepada terengganu.Kemudian dicanangkan yang betapa orang BNlah yang tahu membangunkan negeri,secara tidak langsung mereka menjadi wira kepada rakyat terengganu.Persoalannya mengapa bantuan kewangan yang sedemikian tidak diberi kepada kerajaan Pas ketika itu,adakah kerana imej islamik mereka kerajaan pusat skeptical dengan kemampuan orang agama untuk membangunkan negeri?.Umum mengetahui untuk membangunkan negeri aset penting adalah duit.Dalam hal ini,wajarkah Nik Aziz dipersalahkan jika kerajaan pusat yang liat untuk memberi bantuan kewangan(mungkin selepas ini mereka menafikan dengan ECER).Saya mengajak anda berfikir kenapa setelah era Pak lah mengetuai kabinet barulah kerajaan ingin memberi bantuan kepada Kelantan(ECER). Jadi sebenarnya jelas kerajaan sedikit tidak adil kepada kerajaan pembangkang.Satu peristiwa menarik yang saya ingin kongsi,ketika kerajaan Pas meluluskan undang-undang untuk mengompaun(RM200)wanita yang tidak menutup aurat di tempat kerja,Dato’Sharizat Abdul Jalil menentang keras kerana dakwanya undang-undang tersebut keterlaluan terhadap kaum wanita,yang melucukan apabila undang-undang Allah boleh pula dicabar oleh hamba di parlimen(negara Islam?) ciptaan manusia.Adakah menteri pembangunan WANITA keluarga dan masyarakat ini ingin membela wanita-wanita fasik yang mendedahkan aurat di mahsyar nanti?Apa nilai rm200 dengan azab Allah?

Masinnya Budu
Jadi kepada rakyat Malaysia luar Kelantan,sebelum anda membuat apa-apa penilaian terhadap kerajaan Pas saya mengajak anda untuk berfikir sebelum berkata atau menulis.Seperti kata ibu saya,kita tidak akan tahu masinnya budu selagi kita tidak merasanya.jadi kepada Khairy,sebelum anda mengecam kerajaan Pas,saya minta anda menilai kembali siapa anda,ulama itu warasatul anbiya’(barangkali dia lupa).Juga kepada rakyat Malaysia,rasalah masinnya budu itu sebelum anda menilai rakyat kelantan,dan anda tidak akan merasa kemasinan budu seperti mana rakyat kelantan rasa,kesimpulannya jangan menghakimi kelantan dari perspektif anda,sepertimana kita mengenal Tok Janggut sebagai pejuang tetapi sejarawan barat menilai beliau sebagai pemberontak begitulah kiasan mudah untuk anda menilai kelantan dalam konteks rakyat kelantan.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

"The believers, in their love, mercy, and kindness to one another are like a body: if any part of it is ill, the whole body shares its sleeplessness and fever" -Prophet Muhammad (P.B.U.H.)

MUHAMMAD FAISAL MAT ZAWI
Assadulkalantani.blogspot.com
Faesal_islamicstudent@yahoo.com.my
20 Batu Lada,
18000 Kuala Krai
Kelantan Darul Naim

“andai agama dikias seperti pohon tebu,dan zaman-zaman masyarakat Islam itu dikelas mengikut ruas,pasti kita berada di pucuk,ruas paling tawar kerana kurangnya manis Islam”

Khamis, 22 November 2007

Tukul dan Pahat

Beberapa hari sudah TV3 ada menyiarkan berita berkenaan dengan penipuan yang dilakukan oleh agensi mencari pekerjaan di negara ini.Lalu kecohlah disana sini sekalian pihak berbicara mengenai pihak yang harus dipertanggungjawabkan.Kementerian yang berkenaan pun mulalah membuka kata.Selang beberapa hari keadaan kembali senyap.PBT pun membisu.Persoalan timbul di hati masyarakat.Apa sudah jadi?Jelas sekali keadaan yang berlaku menggambarkan yang kita sebenarnya masyarakat ‘pahat’.Beberapa lama dahulu ketika negara dikejutkan dengan peristiwa Nurin Jazlin,banyak pihak tampil dengan beberapa langkah solusi,beberapa akta dituntut supaya diperbaharui,pelbagai kempen diadakan,kemudian senyap.Selepas itu timbul pula isu keselamatan penumpang feri berikutan kemalangan feri di Langkawi dan Johor.Kerajaan mewajibkan penumpang untuk mendaftarkan diri sebelum menaiki feri.kemudian senyap.Selepas itu timbul pula isu kebanjiran pekerja asing di negara kita yang menimbulkan kebimbangan di hati sekalian rakyat.Negara hangat dengan pelbagai pendapat yang dikeluarkan oleh segenap lapisan masyarakat berkenaan masalah tersebut.Kemudian isu tersebut terkubur begitu sahaja.
Sekadar beberapa contoh saya kemukakan cukup bagi saya untuk menjadi bukti yang orang di Malaysia umpama pahat dengan tukul.Kita lihat bilamana timbul sahaja suatu isu barulah semua pihak ingin tampil menonjolkan keperwiraan masing-masing dalam membela nasib yang teraniaya.Tetapi timbul pula satu persoalan,adakah jika pihak media tidak membuat pendedahan maka pihak berwajib tidak bertindak?Jadi apakah yang dilakukan oleh mereka selama perkara itu tidak diuar-uarkan oleh media?Atau sengaja menunggu sehingga perkara menjadi heboh barulah mereka tampil untuk menjadikan keadaan lebih dramatik untuk mencari publisisti murahan.
Saya hanya mewakili sekelompok kecil penduduk Malaysia yang sedih melihat ‘sindrom pahat’ melanda pihak berkuasa negara kita.Seolah-olah mereka bertindak atas dasar laporan media semata-mata.Mengapa hal sebegini melanda negara yang telah mencapai kemerdekaan 50 tahun sudah.
Usia kemerdekaan nampaknya langsung tidak mematangkan cara bekerja rakyat Malaysia.Jikalau kita mampu memiliki jambatan ketiga terpanjang di dunia,gunung tertinggi di Asia Tenggara,dan berbagai lagi mengapa perkara sekecil ini tidak mampu kita atasi,ataupun dek kerana besarnya gunung Kinabalu itu kita seolah-olah tidak nampak kepincangan dalam etika kerja masyarakat Malaysia.Namun demikian saya tidak pula berpendapat yang satu-satu isu harus dipanjang bicarakan tetapi apa yang saya persoalkan ialah apa yang terjadi kepada tindakan dan langkah yang diambil seolah-olah terkubur sekali dengan isu tersebut.Juga disebalik kerancakan pelbagai wilayah pembangunan yang direncanakan kerajaan pusat seperti ECER,WPI dan lain-lain mengapa masih ada di kalangan warga Malaysia yang tercicir dari kemajuan yang dicapai.
Sekali lagi persoalan yang timbul dimanakah menghilangnyanya pihak-pihak berwajib yang diberi tugas untuk membela nasib mereka Mengapa mereka hanya muncul memberi bantuan apabila krew Bersamamu membuat pendedahan.Bahkan krew-krew ini pula yang bertidak seperti pihak kebajikan masyarakat meredah lecak lumpur untuk ke pedalaman mencari insan bernasib malang.Pihak berwajib pula hanya sekadar menunggu kedatangan mereka di pejabat yang serba lengkap untuk memohon bantuan.
Tatkala krew Bersamamu membuat liputan baru ketika itulah bantuan mencurah-curah datang seolah-olah selama ini mereka hanya menutup mata tanpa mengambil peduli apa yang berlaku disekitar mereka.Begitu juga halnya,kemanakah menghilangnya wakil rakyat-wakil rakyat yang diundi,atau mereka hanya muncul bersama bantuan dan janji apabila musim pilihanraya menjelang.Adakah ini contoh pemimpin?Jadi diharap agar hasil tulisan saya ini dapat dipanjangkan kepada mana-mana pihak supaya kita dapat menilai semula tahap perkhidmatan pihak berkuasa di Malaysia.

Sekian terima kasih.


"The believers, in their love, mercy, and kindness to one another are like a body: if any part of it is ill, the whole body shares its sleeplessness and fever" -Prophet Muhammad (P.B.U.H.)

MUHAMMAD FAISAL MAT ZAWI
Assadulkalantani.blogspot.com
Faesal_islamicstudent@yahoo.com.my
20 Batu Lada,
18000 Kuala Krai
Kelantan Darul Naim

“andai agama dikias seperti pohon tebu,dan zaman-zaman masyarakat Islam itu dikelas mengikut ruas,pasti kita berada di pucuk,ruas paling tawar kerana kurangnya manis Islam”

Khamis, 8 November 2007

Beberapa minggu lepas ana ada berkunjung ke sebuah pasar malam berdekatan kampung ana,sempena cuti sekolah yang menjelang terdetik di hati untuk pulang ke kampung,ana fikir keadaan pasti lebih baik dari kota di tempat ana belajar.Jangkaan ana rupanya meleset sama sekali,di pasar malam itu ana lihat anak-anak muda berpeleseran bersama teman mereka,berjalan ke sana ke mari tanpa arah tujuan.Mereka barangkali tidak sedar ada pandangan yang menjengkelkan memerhati,tapi yang ana hairan ke mana perginya ibu bapa mereka,bukankah masa muda dan umur sihat yang dikurnia sebegitu adalah lebih elok kiranya dimanfaatkan sebaiknya.
Adakah ini menunjukkan betapa kegagalan generasi ibu bapa di negeri serambi mekah abad ke-21 dalam menunaikan amanah yang dipertangggungjawabkan oleh Raja segala raja.Tidakkah mereka lupa yang diakhirat kelak mereka akan disoal tentang amanah yang ditangggung.Itu belum lagi dikira dosa yang ditanggung kerana mengabaikan pendidikan ukhrawi yang sepatutnya diterapkan kepada ‘pelapis-pelapis’ yang asyik hanyut dengan arus modenisasi lalu tenggelam dalam kejahilan mereka,dan lebih menghairankan,ketika mereka mula mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari badai maksiat kemana pula menghilang kapal-kapal tarbiyah dan pelampung dakwah islamiah yang dapat membawa mereka kembali ke pelabuhan islam,sedangkan anak-anak kapal musuh begitu tegar mencari mangsa-mangsa yang kelemasan, walaupun mangsa-mangsa ini yang datang dari bangsa sendiri terapung di depan mata di lautan kejahilan.Sewaktu pasukan penyelamat akidah leka dengan pelbagai jenis gerakan tajdid yang mula membanjiri semenanjung iman umat islam,ketika inilah pasukan komando dan tentera laut syaitan gigih menempuh badai dan ribut mencari ‘mangsa-mangsa’.Mana yang lemah imannya dengan mudah diangkut ‘penyelamat’ mereka ke negeri mungkar.Tapi mengapa pula dipersalahkan mereka,bukankah sepatutnya yang lebih patut dipersalahkan adalah diri kita sendiri yang seringkali menghilang tatkala mereka memerlukan bahkan kita mencemuh tatkala melintasi sekumpulan anak muda yang berpeleseran.Sabda rasulullah s.a.w.’barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangannya(kuasanya),dan jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan lisannya,dan jika dia tidak mampu hendaklah mencegah dengan hatinya,sesungguhnya itu dalah selemah-lemah iman’.Bukankah sudah jelas nyata supaya amar makruf nahi munkar itu diwajibkan keatas semua umat manusia yang memegang title muslim tidak kira umur atau jantina.Bukannya yang disaran supaya mencemuh.

Perlu diingat dunia ini ibarat pentas lakonan,manusia itulah pelakonnya.tidak hairanlah jika ditemukan ramai pelakon berbakat yang tidak popular di lakon layar tapi mutunya lebih hebat dari pemenang Oscar.Al-quran dan as sunnah menjadi skrip lakonan tetapi kerana merasakan skrip itu tidak cocok dengan gaya lakonannya maka sebahagian ‘pelakon’ ini terus dengan acuan dan gayanya,tidak kurang cuba mencabar kewajaran ‘ia’ dijadikan ‘skrip’ malah lebih teruk ada yang cuba meniru dan mengubah skrip yang di garap-Nya walaupun telah dipatenkan dan dijamin oleh penulisnya.semoga di hari penganugerahan di akhirat nanti mereka hanya sekadar membawa trofi neraka bersama pengurus syaitan yang tidak pernah jemu untuk menghasut,bahkan barangkali jika ada kategori pelakon pembantu terbaik syaitanlah yang terlebih layak menerimanya.

Dalam keghairahan sesetengah golongan di Malaysia untuk mengejar gaya hidup barat kita lihat berapa ramai yang akhirnya tewas di tangan tentera syaitan dalam jihad memerangi mereka.Berbekalkan nafsu,senjata paling ampuh didunia,kita tewas,tidakkah terdetik rasa malu kerana kita gagal dalam mempertahankan title sebaik-baik kejadian.lihat saja artis di Malaysia yang namanya Islam namun Islamnya hanya tinggal nama.Kita asyik mencemuh Yahudi sebagai musuh islam namun apakah yang pernah kita lakukan untuk anak-anak Palestin,bahkan kita terus-terusan membekalkan bahan api kepada kapal kapal mereka yang dengan megah membelah lautan darah rakyat palestin.sedarkah sebenarnya selagi kita menyokong barangan mereka,selagi itulah lautan darah itu tidak akan kering. rakyat palestin gigih menentang yahudi walaupun mereka tahu mereka tidak berdaya namun walaupun dengan hanya berbekalkan seketul batu mereka berjaya memepertahankan al-aqsa tapi persoalannya sampai bila?

Mengapa kita lebih rela ke konsert yang menampilkan artis ternama daripada menghadiri forum-forum agama,adakah dengan nyanyian mereka itu yang menjadi soalan munkar nakir,mengapa ayat-ayat suci gagal dihafal namun lirik lagu tak pernah gagal?penguatkuasa agama pula asyik mencegah penzina di hotel-hotel namun mereka yang zina mata tak pernah diambil tindakan?ana rasa mungkin ada yang tidak setuju tapi inilah manusia,tidak pernah senang dengan kebenaran yang cuba ditegakkan jika melanggar kemahuan mereka.Begitu juga kita asyik membicarakan tentang kegemilangan tamadun Islam dahulu-kala,kita mengagumi kehebatan ilmuwan Islam yang menjadi pioneer dalam bidang masing-masing,kita berasa kagum dengan mereka,namun setakat mana sajalah kekaguman kita itu?Setakat di pameran-pameran maupun rencana atau dokumentari sahajalah jawabnya.Kita terlalu asyik disogokkan dengan kehebatan Islam pada zaman dahulu sedangkan tidak ada langkah intensif atau proaktif untuk mengubah masyarakat kearah menjadi sebagaimana yang pernah disebut dalam tafsir al Qurtubi yang menyebut para sahabat yang sezaman dengan Rasulullah sebagai generasi Al-Quran.

Akhirnya,umat Islam di Malaysia khususnya,kehebatan agama dan al-quran itu hanya terkandung dalam khayalan mereka,kita mengagumi Saidina Umar yang berjaya menumbangkan empayar Parsi,Ibn Sina yang berjaya membuka mata ilmuwan barat mengenai ilmu perubatan,namun,kehebatan mereka hanya berada dalam imaginasi kita.Tidak ramai yang benar-benar berupaya untuk menzahirkan apa yang terkandung dalam kotak imaginasi.Akhirnya umat Islam hanya menjadi penceduk kepada budaya barat.Mengapa umat Islam yang memiliki lebih 70 peratus sumber tenaga dunia tidak mampu menjadi kuasa ekonomi dunia,sedangkan negara-negara lain pula yang menjadi model negara maju.Allah yang maha pemurah menganugerahkan sumber bumi kepada umat Islam,masalahnya kita yang tidak tahu untuk bersyukur dengan segala kurniaan tuhan.Kita lalai,kita tidak menggunakan tenaga itu untuk kemaslahatan ummah.Kenapa ?kerana kita tidak berupaya lantaran kejahilan dalam ilmu sains dan teknologi menghalang umat Islam untuk maju kehadapan.

Pemikiran jumud yang menggambarkan Islam ini hanyalah di masjid-masjid dan ketika majlis-majlis keraian atau kematian inilah yang harus dipolish dari minda umat Islam.Pemikiran yang ulama’ itu hanyalah guru-guru fiqh itu tidak seharusnya ada dalam otak umat Islam.Jadi untuk melihat kebangkitan umat Islam, ilmu dan agama seharusnya menjadi keutamaan dan semua pihak seharusnya menyumbang kearah itu sebagaimana kata seorang ulama’ supaya memprofesionalkan ulama’ dan mengulama’kan golongan profesional.Wallahua’lam.

"The believers, in their love, mercy, and kindness to one another are like a body: if any part of it is ill, the whole body shares its sleeplessness and fever" -Prophet Muhammad (P.B.U.H.)

MUHAMMAD FAISAL MAT ZAWI
Assadulkalantani.blogspot.com
Faesal_islamicstudent@yahoo.com.my
20 Batu Lada,
18000 Kuala Krai
Kelantan Darul Naim

“andai agama dikias seperti pohon tebu,dan zaman-zaman masyarakat Islam itu dikelas mengikut ruas,pasti kita berada di pucuk,ruas paling tawar kerana kurangnya manis Islam”