Dalam permulaan cuti penggal tidak banyak yang boleh dibuat. Saya pun kekontangan idea (bak kata Syafiqah Athirah) apa aktiviti yang hendak dibuat. Di rumah, yang menceriakan suasana cumalah ciak-ciak burung, melodi biola cengkerik, hembusan pawana dari arah Sungai Kelantan (rumah saya betul-betul di hadapan sungai ini) ditambah dentuman zink yang diinjak beruk, monyet, dan entah spesies apa lagi yang membuatkan hati ibu saya gundah gulana mengenangkan nasib teratak buruk kami (dan janji wakil rakyat yang ditabur! ). Cukup mendamaikan bukan?
Namun saya sedar bahawa ketenangan itu hanyalah kekosongan yang tiada makna. Sama seperti menikmati mi sup di Hentian Putra yang berharga RM3 itu. Enaknya cuma di tenggorok. Berada di rumah memang seronok, setelah hampir dua bulan berada di peradaban perkotaan. Namun, saya masih berasa kekosongan. Mencari-cari asbab kekosongan menemukan saya dengan sesuatu.
Rupanya saya putus hubungan dengan ikhwah. Meladeni jiwa yang kosong di tepi tingkap rumah, saya menerima mesej balas (mesej saya sebelumnya bertanyakan kedamaian yang dicarinya) daripada Halimi Abdul Aziz
(http://generasighurabaq.blogspot.com/)
“Emm,dptlh ckit tp rasa mcm xcukup,mmg begitulah iman kt yg kdg naik kdg turun,mudah2an mutaba’ah kt jd benteng diri dn hubungi ikhwah lain agar kembali terasa.Allah sentiasa bersamamu tika dikau ingin bersama-Nya.;-) ” Terima kasih akhi.
Saya tinggalkan cerita akhi Halimi dan mesejnya. Sebetulnya saya baru sahaja selesai mengikuti Minggu Perkampungan Penulis Muda di Kuantan Pahang, terima kasih kepada Hafiz dan ‘syarikatnya’ yang cukup meyakinkan, Naqib yang ceria dengan sterika, Din dan senyumnya, Amin dan kerabunya, Haikal dengan wajah selamba, Razali dengan politik partisannya, Sadiq yang selalu berkunjung ke bilik, Kak Nadia yang banyak bercakap, Ony yang selalu ketawa, Anis yang ‘sporting’, Munirah yang malu-malu, Erin yang kurang malu, Aliff dan kelatenya dan semua peserta kerana memberi sudut baru dalam perspektif penulisan saya.
Berbalik kepada cerita silat. Penglibatan saya dalam Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi umpama membakar kembali api cakna budaya yang semakin padam dan sirna dalam jiwa saya. Terutama selepas melihat keruwatan sosial bangsa sendiri membuatkan saya malu untuk mengakui diri saya berdarah keturunan Tok Janggut (kata bapa saya Tok Janggut datuk saudara YB Alwi, beliau pula ada bau-bau bacang dengan datuk saya). Malah muka saya yang agak mewarisi kekacakan melayu arwah moyang saya (^_^) (Tok Yaaka dikatakan mempunyai 13 orang isteri! ) tidak menafikan kemelayuan saya.
Kali terakhir saya menulis mengenai sikap masyarakat Melayu ialah pada entry pertama saya. Sedihnya hati ketika melihat sekumpulan pemuda ‘MELAYU!’ yang ditemu ramah wartawan dari rancangan ‘IN-TREND’ terbitan ‘RTM2’ yang ketika itu membicarakan tajuk fesyen remaja. Maka pemuda itu dengan bangganya menayangkan rambutnya yang berwarna jingga itu (teringat entry ‘Sehari Lembu di Bandar’), bibirnya yang ditindik,dan baju belang-belang (dah macam dekat zoo negara).
Balik ke studio,dua orang pengacara (perempuan dan lelaki dua alam) pun mengulas mengenai fesyen yang menurut mereka menjadi kegilaan. Tidak cukup dengan itu, mereka menyebut beberapa contoh fesyen yang PATUT menjadi IKUTAN supaya kelihatan ‘UP TO DATE’.Tapi kata seorang teman apabila diajukan hal ini,
“Itu semua budaya barat! Mengapa harus dituruti! ” Katanya bersemangat.
Namun saya terfikir, ‘BUDAYA’ ? Saat menelaah Dewan Sastera keluaran April. Saya tertarik pada kolum ‘Kalam Pujangga’ oleh S.Othman Kelantan (Sasterawan Negara). Pak Othman ada memberi konotasi budaya. Budaya lahir dari dua kosa kata. Yakni ‘buddhi’, perkataan Sanskrit yang membawa erti fikir atau intelek atau yang seerti dengannya dan ‘daya’ yang membawa erti usaha atau juga yang seerti dengannya.
Maka kerana itu,apabila kita membicarakan mengenai budaya masyarakat melayu, kita tidak akan lepas dari benda tradisional yang kuno dan kolot itu. Sebenarnya disitulah silap kita, apabila kita terlalu mengangkat ‘budaya’ barat. Maka secara tidak langsung ‘mengtradisonalkan’ budaya kita sendiri. Kerana kita tidak cakna kepada falsafah budaya masyarakat Melayu. Maka kita lupa terus kepada makna budaya yang tinggi itu.
Sekadar menyebut beberapa contoh, butang baju melayu cekak musang itu kenapa lima? Falsafah rukun Islam yang lima itulah yang diterap nenek moyang. Baju melayu Teluk Belanga pula berbutang satu pula?. Konsep esanya Allah itulah jawapannya.
Mengapa rumah tradisional beranak tangga lima? Supaya nanti kaki kanan yang dijejak paling akhir.
Selama ini pernahkah kita menyedari ketinggian pemikiran masyarakat Melayu, nenek moyang kita yang dicop kolot itu? Bahkan untuk membina sebuah rumah ada konsep alam yang harus dituruti. Ibu rumah,perabung bertingkat,tiang seri dan lantai. Setiap satunya adalah mesej pemikiran arwah moyang kita untuk generasi kini.
Hidup ini hanyasalah seperti sebuah ludruk yang berjela-jela pementasannya. Tanyalah juga kepada mana-mana pengamal silat melayu yang lain, Faridul Fawzan (http://tarbiyyatulummah.blogspot.com/) contohnya. Setiap dari gerak tari atau gerak menyerang dan menahan atau menangkap ada falsafahnya. Seni cekak mengajar saya dalam bergaduh juga kita tidak boleh bersikap kurang ajar kepada musuh. ‘Kesopanan’ itu pula dijelmakan cukup indah melalui gerak tangan yang cukup tangkas bermain mata musuh. Begitulah rendah diri seorang Melayu. Tidak perlu sehingga orang memijak kita.
Bandingkan pula dengan WWE. Saya pun pening apa yang dibuat penggusti-penggusti tersebut. Kadang rasa geli hati memanjat langit hati. Mana tidaknya? The Undertaker misalnya, intro masuk ke gelanggang cukup menakutkan.
Psikologi musuh dimainkan cukup hebat. Namun saat gelanggang dibuka. Batista terus menumbuk Undertaker dan membelasahnya mati-matian. Undertaker terus menggali kubur sendiri. Teknik bertumbuk pun jelas nampak sandiwaranya, menonton WWE tidak ubah seperti menghadiri opera cina. Apa yang hebatnya barat? Sebetulnya kerana kekontangan (Athirah jangan marah) budaya, mereka melakukan sehabis baik (cogan kata Pengakap) untuk menyebarkan ‘Budaya era Barat Baru’.
Jadi apalah sangat gejala kuning (tidak selayaknya digelar budaya!) orang barat yang tidak membawa makna itu jika dibandingkan dengan budaya warna-warni melayu yang punya mesej Islam yang kuat pada segenap tatacara hidup.
Baliklah kepada akar dan ras kita. Jangan jadi seperti cerita kera yang membuang buah mangga kerana tertarik dengan keindahan bunganya.
Ingatlah janji Allah bahawa manusia itu makhluk yang mulia “Sesungguhnya Kami muliakan Bani Adam dan Kami angkut mereka dengan kenderaan didarat dan dilaut serta Kami beri rezeki mereka dengan baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami jadikan dengan kelebihan”<17:70>
Tapi jangan sesekali lupa “Adalah manusia itu satu umat, lalu Allah mengutus beberapa orang nabi untuk memberi kabar gembira dan kabar takut, dan menurunkan Kitab bersama mereka itu dengan kebenaran, supaya Dia menghukum antara manusia,tentang apa-apa yang mereka perselisihkan. Dan tiada yang berselisih melainkan orang-orang yang mengetahui Kitab itu,setelah datang kepada mereka beberapa keterangan,kerana berdengki-dengkian sesama mereka…”<2:213> orang-orang barat yang kita sanjung itulah yang dimaksudkan, yang membawa gejala yang dijadikan indah pada pandangan mata kita.
“Maka Allah menunjuki orang-orang yang beriman kepada kebenaran yang mereka perselisihkan dengan izinNya ...”<2:213> Kekalkanlah diri dengan iman dan pohonlah kepada Allah moga kita termasuk golongan yang ditunjuki, tapi jika tersesat jangan khuatir kerana
“Dan Allah menunjuki orang-orang yang dikehendakinya kepada jalan yang lurus”<2:213> yakinlah dengan janji Allah.
Dia itu maha Penyayang. Doakanlah agar kita semua,diri saya dan pembaca juga seluruh umat Islam tetap berada dalam kalangan mereka yang bersyahadah, solat lima waktu, berpuasa di bulan ramadhan,menunaikan zakat, dan mengerjakan haji.
Kita tidak tahu sampai bila hati ini akan terus mampu bertahan daripada tenggelam di sungai peradaban atau ditunda arusnya dan jika itu yang terjadi dan kita hanyut moga Allah masih sayang kepada diri kita yang dipenuhi nanah dosa. Intansurullah hayan surkum wayu thabbit aqda makum
Oh ya, perkataan moden itu sebenarnya diambil dari perkataan ’mudun’ dalam bahasa arab yang berkonotasi tamadun. Jika benarlah mereka yang memacu dunia, mengapa harus mengutip istilah negara padang pasir yang ‘uncivilised’ itu. Barat… Fikir-fikirkanlah.
Puisi dan Peribadi
4 tahun yang lalu
1 comments:
great entry bro..
len kali klu free ajar r ana tulis ayat2 sastera..
yelah,kata sasterawan muda..
pergh..'memiliki kekacakan melayu'..
piirah..
Catat Ulasan