“Aku bersumpah dengan (makhluk) yang kamu lihat, Dan yang tidak kamu lihat,” surah Al-Haaqqah ayat 38-39.
Berat sekali matanya. Ahhh, kalau diturutkan nafsu lawwamahnya mahu sahaja Faiez baring di atas mejanya yang dibalut plastik dan dibungkus kertas merah dan hitam, dia mahu melayan tidur sepuas-puas hatinya. Kalau boleh, biarlah mambang kuning tidak menjengah bumi Alam Shah, biarkan malam terus menghambat siang. Biarkan! Kepalanya sudah dirasakan berat metah. Leher dirasakan tidak mampu lagi untuk menegakkan kepalanya. Lemah yang amat!
Setiap bait kata yang terpacul dari mulut guru yang sedang memarahi pelajar sekelas akibat kerja rumah yang tidak sempat disiapkan, masuk dan menembus ke telinganya lalu dipuput angin dari kipas siling entah ke benua mana. Faiez tidak terkesan, langsung! Biarpun suara guru itu berdentum bagai halilintar yang mencalar langit lagaknya, bagai antabota yang membura api menjulang ke negeri Samudera perinya!
Faiez tersengguk-sengguk di atas meja, kejap kejap dia menampar pipinya. Afiq hanya menjeling tajam, hairan–guru itu tidak terperasan dengan laku Faiez!
“Ringgggggg!!!” Loceng berbunyi. Guru tersebut menyudahkan bebelannya dengan amaran dan peringatan untuk kelas seterusnya. Amarah yang belum habis dihambur agaknya. Ciss! Dasar loceng! Itu subjek pembelajaran terakhir untuk hari tersebut. Faisal mengajak Faiez ke dewan makan untuk makan tengah hari. Dia menolak, mahu sambung tidur katanya.
Jam dua setengah lebih kurang dia bangun dari tidurnya terpisat-pisat. Ahh! Matanya cegar amat. Faiez menggeliat ke kiri dan kanan, dia menggenyeh mata dengan kekura tangan, melihat pada jam tangan Rolex berwarna emas yang dihadiahkan bapanya sempena ulang tahun umur yang ke-16. Dia lihat pula sekeliling kelas. Lengang–hanya bunyi kipas yang berpusing ligat memecah suasana. Dia melangkah keluar dari kelas dan pantas sahaja ke surau, solat Zohor.
Puisi dan Peribadi
4 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan