Powered By Blogger
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan

Selasa, 16 Februari 2010

Perjalanan mencari cerita yang baik.

Saya katakan pada Boris Pasternak, sesuatu yang telah lama terbuku di hati...


Tuan Pasternak, saya merasa jijik terhadap diri saya. Di hadapan mereka saya mengaku muslim, malah sayalah yang pertama mencela dosa. (mula sedu...air mata bergenang) ketahuilah juga Tuan Pasternak, agama dan Tuhan yang saya canangkan itulah yang pertama saya campak ke dasar paling hitam dada saya. Saat saya berseorangan di dalam bilik gelap menanti ilham selepas solat untuk menulis, seakan saya buntu terus.

Namun tuan, nafsu serakah saya yang selalu tunduk kepada pelacur kota membutakan saya dari Tuhan pada malam hari. Jijik tuan, bahkan anjing lebih mulia, siang hari saya bermuka-muka. Maafkan saya tuan Pasternak, tetapi saya tidak tahu bila mungkin lagi saya akan mengenang semula diri. Harus saya luahkan. (ketika itu, butir hujan Moscow keras menimpa saya dan Boris Pasternak, sedang Bohr dan Ibn Sina bersembang bersama Pushkin. Seperti langit juga menhentam saya, hujan)

ironi, itulah mungkin pada saya. Ilham yang saya tunggu ditikar sembahyang, hanya akan muncul apabila secubit iman dalam diri saya mengungkap perasaan bersalah dengan dosa saya, dan ketika itu. Saya dalam rangkulan pelacur cina (terduduk.) ... See more

Ilham juga datang, ketika saya menangis pulang dari hotel murah, ketika saya longlai melangkah membawa dosa di pundak. Mengapa tuan Pasternak! Tuhan mengurniakan kepada saya untuk menulis dalam keadaan yang kotor! Malah saya sering terkenang, ilham itu bukan dibawa malaikat. Bahkan hembusan syaitan dan iblis yang bersama saya. (hujan lagi menimpa, teresak-esak. Boris Pasternak merenung tepat sambil menghembus paipnya dalam hujan di bawah payung hitam. Asap paip pecah dicarik-carik air. Dia berkata...)





Tuhan mu menyelamatkan Isa. Tuhan mu, punya syurga dan pahala. Tuhan mu sanggup membiarkan aku, Bohr malah Pope hidup tanpa sebarang gangguan. Biarpun aku diburu komunis namun pasti Tuhan kamu amat pemurah kerana mengurniakan aku bakat besar meski aku tidak mengenal Tuhan kamu. Pushkin mungkin membaca alQuran sampai dia menulis sesuatu untuk kitab... See more kamu.

Tentu kamu lebih kenal Tuhan kamu? Percayalah jika Dia bermurah hati pada aku. Pada kamu lebih lagi! (hujan lagi di Moscow. Boris Pasternak membimbing anak muda yang ditemuinya ke dalam bangunan coklat itu. Mengusap kepalanya yang kebasahan di timpa air mata Moscow)

Saya Niels Bohr. Mungkin anda lebih mengenali saya sebagai ahli kimia atau pemenang Nobel. Berdasarkan fakta itu, pasti anda hairan apa sebabnya saya berada bersama sekumpulan manusia puitis. Beginilah, saya jujur mengatakan ini. Saya tertarik dengan keikhlasan hati anak muda yang saya temui lewat perjumpaan di Copenhagen Institute tempat saya mengajar.

Benar dia bukan ahli kimia tetapi hanya seorang penulis muda. Keihklasan hatinya itu yang sanggup mencari saya di Denmark demi sebuah cerita yang dikarangnya amat menuntun hati saya.

Sesiapa yang pernah kenal, atau mungkin menuntut di Copenhagen Institute pasti tidak dapat melupakan suasana kreatif di sana yang akhirnya menghasilkan penemuan besar dalam dunia sains. Tidak sedikit juga yang terkesan dengan keakraban kami dan suasana ceria yang bebas dari cengkaman formaliti. Anda mungkin temui seorang pelajar yang baring di atas meja sambil membincangkan masalah ikatan atom bersama tenaga pengajarnya dalam seminar tahunan....

(ketawa...sungguh saya rindukan saat itu)

Khamis, 31 Julai 2008

Mereka Punya Angkara (untuk pelajar-pelajar yang sering dimomokkan cerita hantu)

“Aku bersumpah dengan (makhluk) yang kamu lihat, Dan yang tidak kamu lihat,” surah Al-Haaqqah ayat 38-39.
Berat sekali matanya. Ahhh, kalau diturutkan nafsu lawwamahnya mahu sahaja Faiez baring di atas mejanya yang dibalut plastik dan dibungkus kertas merah dan hitam, dia mahu melayan tidur sepuas-puas hatinya. Kalau boleh, biarlah mambang kuning tidak menjengah bumi Alam Shah, biarkan malam terus menghambat siang. Biarkan! Kepalanya sudah dirasakan berat metah. Leher dirasakan tidak mampu lagi untuk menegakkan kepalanya. Lemah yang amat!
Setiap bait kata yang terpacul dari mulut guru yang sedang memarahi pelajar sekelas akibat kerja rumah yang tidak sempat disiapkan, masuk dan menembus ke telinganya lalu dipuput angin dari kipas siling entah ke benua mana. Faiez tidak terkesan, langsung! Biarpun suara guru itu berdentum bagai halilintar yang mencalar langit lagaknya, bagai antabota yang membura api menjulang ke negeri Samudera perinya!
Faiez tersengguk-sengguk di atas meja, kejap kejap dia menampar pipinya. Afiq hanya menjeling tajam, hairan–guru itu tidak terperasan dengan laku Faiez!
“Ringgggggg!!!” Loceng berbunyi. Guru tersebut menyudahkan bebelannya dengan amaran dan peringatan untuk kelas seterusnya. Amarah yang belum habis dihambur agaknya. Ciss! Dasar loceng! Itu subjek pembelajaran terakhir untuk hari tersebut. Faisal mengajak Faiez ke dewan makan untuk makan tengah hari. Dia menolak, mahu sambung tidur katanya.
Jam dua setengah lebih kurang dia bangun dari tidurnya terpisat-pisat. Ahh! Matanya cegar amat. Faiez menggeliat ke kiri dan kanan, dia menggenyeh mata dengan kekura tangan, melihat pada jam tangan Rolex berwarna emas yang dihadiahkan bapanya sempena ulang tahun umur yang ke-16. Dia lihat pula sekeliling kelas. Lengang–hanya bunyi kipas yang berpusing ligat memecah suasana. Dia melangkah keluar dari kelas dan pantas sahaja ke surau, solat Zohor.

Matinya Ikan Di Hilir (karya pilihan esastera.com)

Muhammad Faisal Mat Zawi

(Eksplisit, matinya ikan di hilir lantaran orang di hulu membuat angkara. Apa-apa yang di hulu kerjakan, yang di hilir mendapat binasa)

“Splaaassshhhh!” Ikan yang sebesar lengan budak berumur tiga bulan itu menyentap sungai. Air Sungai Kelantan yang tadinya tenang berkocak hebat, terpercik kena pada kaki seluar lusuh Napi yang kusam warnanya.

“ Besar tak! Ikan apa?” Deris yang dari tadi diam melangut melaung dari atas tebing.

“Alah, baung! Hendak makan sendiri lepaslah!” Napi menjerit pada Deris. Sengaja dia memilih untuk mengail di atas batu di tepi tebing. Biar jauh sedikit daripada Deris. Bukannya apa, Deris itu memang tidak tahu diam mulutnya. Kadang-kadang sakit hati juga mendengar bicaranya. Namun ‘murai’ seorang itulah sahabat yang setia bersamanya. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah sampai ke universiti hinggalah sekarang sama-sama menganggur. Ironinya, bapanya Cikgu Hassan tidak pernah sebulu dengan Imam Nuar, bapa Napi.
Sekarang itulah kerja Napi sehari-hari. Dari pagi ke petang, kadang bawa sampai ke malam mengail di sungai. Bapanya Imam Nuar tidak ambil pusing sangat. Biarlah katanya, ada juga hasil boleh dimakan. Asalkan tidak bercampur dengan budak-budak kampung yang tidak tentu hala. Uminya lain cerita, asal balik ke rumah pasti dileteri. Tapi dia tahu, Imam Nuar juga tahu, bahkan Deris yang tinggal tiga buah rumah daripada rumahnya juga tahu.
Amarah uminya bukan pada hobi mengailnya. Tetapi pada keputusannya memilih jurusan kejuruteraan. Uminya kepingin benar melihat Napi berjubah putih, dengan stetoskop tergantung di leher. Tetapi minatnya tidak ke arah itu.

“Itulah awak, dari dulu lagi saya mintak Napi jadi doktor tapi awak kata dia punya suka. Sekarang siapa yang susah? Ingatkan lepas keluar ‘u’ bolehlah bantu barang seringgit dua,” Hajah Mun membebel sambil menyiram pokok orkid siamnya. Imam Nuar yang duduk berehat-rehat di beranda tidak terasa langsung.

“Bang Nuar oi! Awak dengar tak?”

“Dari Semundra besi dilebur, apalah nasi menjadi bubur,”

“Eh! Berpantun pula dia!”
Imam Nuar tidak mengendahkan pada laku Hajah Mun. Dia lebih senang melayan tidurnya di atas kerusi malas. Jam satu nanti lebih kurang dia ke surau, Pak Jak bilal Kampung Keluat ke pekan hari ini. Dialah nanti yang akan menjadi bilal, imamnya juga dia, makmumnya juga dia. Kalau bernasib baik adalah empat lima orang tua kampung itu sekali berjemaah.
Deris berdiri menghadap Sungai Kelantan. Rambutnya yang panjang melepasi telinga dielus-elus pawana dari sungai itu. Air sungai itu keruh warnanya. Seingatnya dulu emaknya, Saerah Kebaya pernah bercerita. Sungai yang lebarnya lima puluh meter itu memang dari dahulu tidak pernah jernih. Manakan tidak, air sungai sentiasa sahaja dipenuhi segala macam lumpur dan selut dari hulu. Deris duduk di sebelah Napi yang sejak tadi asyik membelek-belek novel ‘Cintaku di Kemboja’. Awan gemawan berambal-ambalan dipuput bayu.
“Engkau ni harap sahaja menang silat wajadiri kebangsaan, tapi baca novel meleleh-leleh,”
“Engkau ni bising la, nanti ikan merajuk,”

(emel kalau mahu sambungannya)

Khamis, 5 Jun 2008

MIMBAR

MIMBAR

Nukilan: Abesa@Muhammad Faisal Mat Zawi

Azan subuh yang dilaungkan Pak Jak sayup-sayup sahaja bunyinya.Suara azan itu pecah-pecah keluar daripada speaker yang uzur seusianya. Rantaian kalimah tauhid itu terus terbang ke segenap penjuru dan ceruk Kampung Keluat. Menerobos melalui setiap gegendang telinga penduduk yang masih enak diulit mimpi tidur dalam balutan selimut dan gebar yang memberi kehangatan dalam dingin terang tanah itu. Akhirnya kalimah itu berhenti pada puncak Bukit Tiu yang berbalam-balam dibalut kabut.

Seperti sediakala, yang ada di surau tua itu subuh-subuh begini cuma Imam Nuar dan Pak Jak. Kalau tidak mereka siapa lagi yang ‘nak memakmurkan surau kampung itu, bukannya orang lain malas ke surau, cuma kalau subuh-subuh begini mereka lebih gemar sembahyang di rumah. Imam Nuar yang separuh abad itu, masih lagi bertongkat dagu di kekisi. Dilihatnya beberapa buah rumah mula dipasang lampu. Kokokan ayam jantan di reban sahut-menyahut. Memecah kedamaian udarakasa.

Selesai memberi salam, mulutnya kumat-kamit berwirid, sesekali butirnya tenggelam dari kerana otot lidah tidak bertemu batang gigi yang sepatutnya. Pak Jak yang muda sedikit daripada Imam Nuar sekadar mengikut wirid yang dibaca.

Jam tujuh lima minit pagi, mambang kuning melimpahkan cahayanya pada setiap inci bumi. Kampung Keluat yang terletak di sebelah selatan Bukit Tiu, betul-betul pula di tebing Sungai Kelantan cepat benar menerima cahaya matahari pagi, dan cepat pula malam menghambat siang. Dimana-manapun pada saban bilah-bilah pagi hari yang datang, warunglah tempat manusia bertumpu. Dari yang lepas menghantar anak ke sekolah, ke ladang buat menoreh, atau ke pekan atau yang sekadar menghabiskan masa dan wang semuanya ke warung Lijah Janda itu. Entah kenapa, Lijah itu memang janda, tapi itu cerita lima tahun dahulu. Sekarang sudah menikah juga dengan Ramin Mesin, yang membuka sebuah bengkel di Bandar Kilu Krai.

‘Sreeiiitttt...!’ Imam Nuar membrek motosikalnya.

“ Assalamualaikum!” Laungnya sambil menongkatkan motosikal.

“ Waalaikummusalam…” Salamnya bersambut oleh orang-orang di warung. Ramin menghampiri meja Imam Nuar.

“ Minum bang Nuar?”

“ Macam biasalah…”

“ Jahh! Kopi jantan satu!”

Seluruh isi warung terkedu. Semua mata memandang Imam Nuar. Dia kaget. ‘Apa hal pulak’ hatinya dirundung risau.


(apa yang terjadi? kenapa seluruh isi warung terkejut? Dapatkan full version cerpen MIMBAR dengan menghantarkan emel anda kepada saya)

Rabu, 21 Mei 2008

Percakapan Seorang Aku

Percakapan seorang aku

Nukilan:abesa@Muhammad Faisal Mat Zawi


AKU
Asap hitam peroksida berkepul-kepul keluar dari ekzos motokar biru jenis Toyota itu sepekat hati hitam manusia sakit. Aku tersenyum sendirian. Duduk di kaki lima bersebelahan Klinik Gigi Uma di Wisma Koya meski tidak menjanjikan pemandangan seindah Gunung Stong,malah bersebelahan simpang empat yang sesak dengan kenderaan namun gelagat manusia-manusia sakit tetap menghiburkan.
Bunyi hon motokar bersahut-sahutan. Aku hanya memerhati gelagat mereka berbalahan tanpa punca yang jelas asosiasinya dengan persekitaran sekeliling. Matahari agak baik hati hari ini,sinarnya tidaklah membahang namun masih mampu memberi kehangatan. Angin pun kadang-kadang ada,kadang-kadang tidak. Aku mengangkat punggung. Bosan melihat manusia-manusia sakit. Kakinya melangkah terus berjalan seiring kaki lima itu. Berjalan setapak demi setapak,menelusuri Jalan Geale melintasi bangunan mahkamah majistret,perpustakaan awam dan pejabat Majlis Daerah Kuala Krai. Bangunan pejabat polis daerah terletak bersetentang dengan bangunan kerajaan itu.

Tiada yang menarik perhatiannya meski warga Kuala Krai berbangga dengan nilai sejarah bangunan-bangunan tersebut. Kakinya terus melangkah dalam hangat mentari itu. Sampai di simpang dia masuk ke jalan sebelah kiri. Ya! Itulah tujuannya. Masjid Tengku Muhammad Faris Petra.
(untuk mendapatkan sambungan cerpen di atas,sila tinggalkan alamat emel anda di shout box.Insya Allah,saya akan melkan)