Powered By Blogger

Sabtu, 23 Ogos 2008

Surat rasmi

Muhammad Faisal Mat Zawi,
Penulis bebas,
No. 20, Batu Lada,
18000 Kuala Krai,
Kelantan Darul Naim.


Mohd Ikhwan Bin Ahmad Zhaki, 19 Ogos 2008
Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Akhi,

Penubuhan organisasi khusus buat penulis muslim SBP

Perkara di atas dirujuk.

2.Lewat kebobrokan dunia hari ini membuatkan saya terpanggil untuk menyeru kepada pihak saudara berkenaan penubuhan sebuah badan bebas yang bernaung di bawah panji gerakan pelajar Islam menggunakan lapangan penulisan sebagai wasilah untuk menyorotkan sinar Islam.

3.Bidang penulisan telah lama diakui para budayawan sebagai penujah kepada sistem perkembangan bahasa dan budaya yang memberi impak besar terhadap lapangan hidup. Masyarakat dunia umumnya yang menghabiskan purata 5 buah buku setahun menerima kesan langsung daripada perkembangan penulisan.

4. Sedikit masa lalu kemunculan The Da Vinci Code sedikit menggoncang perdu akidah penganut kristian dengan teori-teori arbitrarinya yang jelas membuatkan mereka skeptikal biarpun jelas Dan Brown hanya melarik tinta dari sisi kualitatif mindanya. Salman Rushdie yang baru menerima darjah kebesaran dari Ratu Elizabeth pernah menjerkah dunia. Novelnya yang menimbulkan polemik panjang dalam kalangan sarjana Islam, The Satanic Verse mula menyedarkan kalangan intelektual muslim berkenaan pengaruh karya penulisan masyarakat.

5.Tokoh penulisan Ikhwanul Muslimin, Syed Quthb dengan Tafsir fi Zilalil Quran telah membawa dimensi baru dalam menafsirkan Quran lewat abad ke dua puluh. Al-A’dalat Al-ijtima’iyyah fi al-Islam telah membuka mata sekalian banyak pihak berkenaan keadilan sosial dalam Islam sekaligus membidas tulisan para orientalis barat yang memberi cerminan hapista kepada umat Islam.

6.Pengaruh media yang dikuasai barat ternyata menjadi masalah yang menghantui dunia Islam. Dengan kuasa media di tangan mereka, tidak ubah seperti memegang layar kapal yang mempengaruhi persepsi dunia terhadap apa sahaja yang mereka utarakan. Justeru dalam memerangi bibit Islamophobia yang mereka semaikan dalam jiwa masyarakat dunia, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menguasai pula lapangan penulisan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Al-Qalam ayat dua, menurut Syed Quthb bahawa siapa yang menguasai penulisan maka dia menguasai ilmu pengetahuan.

7.Penubuhan persatuan penulis muslim tersebut serta segala gerak kerja dan organisasinya terserahlah kepada pihak APIS untuk mencorakkannya.

8.Akhir kata saya memetik ungkapan Asy-Syahid Syed Qutb, “dunia ini sedang melalui beberapa revolusi budaya dan pencarian tiada akhir sebuah alam dan sistem kehidupan yang seimbang. Selepas beberapa abad dengan penyelidikan dan eksperimen dan menemui kekecewaan dengan dunia materialistik – ‘aqidah yang benar dan sistem sosial yang adil yang dicari sekian lama oleh penghuni dunia ini, cumalah boleh diperolehi melalui naungan Islam. Hakikat ini senang dihuraikan kepada dunia yang bersedia menerimanya, tetapi apa yang perlu sebelum daripada itu ialah perubahan masyarakat Islam itu sendiri.”

Sekian untuk makluman dan tindakan, segala kerjasama dan respons positif amat diharapkan dari pihak saudara.




“demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan” <68:2>

Muhammad Faisal Mat Zawi,
Faesal_islamicstudent@yahoo.com.my
http://assadulkalantani.blogspot.com
Mantan Perkampungan Penulis Muda Kementerian Pelajaran Malaysia 2008
No. 20, Batu Lada,
18000 Kuala Krai,
Kelantan Darul Naim.

No. Tel: 017-2387944

(ini adalah salinan surat kepada APIS, jadi saya menyeru kepada mana-mana pelajar Islam yang berbakat dan mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang penulisan kreatif dan ilmiah untuk menghubungi saya)

Cerita sebuah bangsa (baca:kebangsaan)

Cerita sebuah bangsa (baca:kebangsaan).

“Hari ni hari gapo eh?” Pak Su Lah tiba-tiba bersuara dari tangga surau. Saya baru sahaja melangkah masuk ke dalam, melabuhkan punggung duduk di sudut surau jauh sedikit dari Tuk Wan. Kelihatan Ustaz Saidi menekur pada lantai.

“Hari Rabu la wei,” Tuk Wan menjawab.

“Makno nyo, sepuluh hari lagi la nok merdeka dok?”

“lebih kure la,”

Ohh, topik sebelum Zohor hari ini fasal merdeka ke? (Itu monolog saya cuma). “Cuti ko?” Ustaz Saidi menegur saya.

“Ho la,” saya menjawab ringkas.

“Gi bilo kolumpo? Minggu depe la?”

“Jolo la ustaz,”

Kemudian Pak Cik Man Penggawa pula melangkah masuk. Tuk Wan cerita pula dia beli tiket bas untuk anaknya. Pak Cik Man Penggawa tambah, pukul tujuh setengah pagi tadi dia menunggu di stesen keretapi, beli tiket katanya.

Habis sahaja solat Pak Hassan cerita pula sakit giginya. Dua tiga jemaah tua yang lain menambah. Pak Cik Man Penggawa kata kalau nak murah cabut gigi, pergi klinik siang-siang. Ustaz Saidi pula seperti sediakalanya, tenang sahaja orangnya. Kadang-kadang dia turut serta berbual tapi banyaknya dia senyap sahaja. Saya kira Ustaz Saidi unik orangnya. Beliau diterima di surau kampung saya yang rata-rata jemaahnya (yang berjumlah enam orang!) Pas, walhal ustaz orang UMNO. Kiranya surau kampung saya bolehlah dikatakan majmuk jemaahnya. Saya juga jemaah yang ganjil juga, bukan sahaja dari segi umur tapi mungkin kerana saya ke surau memakai celana (semua jemaah tua lain memakai kain pelikat).

Ibu saya ada juga menegur, katanya nanti apa kata orang kalau ke surau pakai jeans. Tapi saya berhujah itu cuma persepsi orang. Bahkan pakaian Melayu pun yang sering dipakai ke surau itu pun hasil proses asimilasi Islam ke dalam budaya Melayu. Jemaah surau pun nampaknya seperti tidak ambil pusing dengan ‘etika’ pemakaian ke surau.

Cerita Melayu dan Islam itu biarlah saya perikan dalam entry blog yang lain. Kerana kali ini saya mahu bercerita tentang kisah sebuah bangsa. Bukan bangsa Melayu dan cerita kemerdekaannya, tapi sebuah bangsa yang kian rakus menjarah bumi saudara kita. Bermulanya bangsa.21 haribulan Ogos umat Islam seluruh dunia mengenang kembali peristiwa mimbar zaman Salahuddin Al Ayubi di Masjidil Aqsa dibakar yang menyaksikan penetapan Hari Al Quds bagi umat Islam. Itu cerita Al Aqsa. Ini saya bawakan cerita mereka yang membakar mimbar. Adapun dalam membicarakan mengenai bangsa Yahudi maka sebaiknya perlu diketahui yang bangsa Yahudi yang ada sekarang bisa dibahagi kepada dua, yakni Semitik dan Ezkinaz atau sering juga disebut non-semitik.

Meskipun dalam keraguan, teori yang diterima mengenai asali yahudi Semitik itu dipercayai dari titisan Nabi Ibrahim. Baginda berhijrah dari Kota Aur di selatan Mesopotamia, ke Khurran di Syria. Di sinilah katanya ayah Nabi Ibrahim meninggal dunia.

Kemudian Baginda berpindah lagi ke Kananiah sekitar 2000SM. Dari keturunan baginda dari Nabi Ya’kub yang kadangnya juga dikenal dengan Israel, yang suka berjalan malam. Hingga akhirnya terbit sebuah bangsa yang dikenal dengan nama Bani Israel. Di antara keturunan Bani Israel adalah Nabi Yusuf yang berjaya menjadi menteri di Mesir. Hingga akhirnya banyaklah Bani Israel yang berdiam disana, sehingga suatu masa Firaun berkuasa mereka di bawah pimpinan Nabi Musa keluar dari Mesir menuju ke Kanaan (Palestina). Ini yang dipegang sejarawan Yahudi. Teori lain pula menyebut mereka pada hakikatnya adalah bangsa campuran dari pelbagai ras. Mereka hidup mengembara seperti kaum Gypsy pada masa jahiliyyah atau seperti kaum Syatharien dan Iyarien (Vaga bonds) pada dinasti Abbasiah. Dalam proses hidup mereka yang nomad mereka pernah menyerbu bumi Kananiah dan merompak penduduknya.

Agama yahudi ketika zamannya cukup unik kerana sewaktu masyarakat Timur Tengah purba menyembah banyak tuhan, politheist tetapi mereka menyembah hanya satu tuhan. Monotheist. Tuhan mereka pula universal, tidak dilihat berbeza dengan tuhan agama lain yang lebih kepada berhala-hala dan unsur alam seperti bintang, matahari, burung dan sebagainya.

Dalam Leviticus 26:12, tuhan mereka membuat perjanjian, “I……….will be your God, and ye shall be my people”

Dalam Deutronomy 10:12-13,

“And now, O Israel, what does the Lord your God ask of you but to fear the Lord your God, to walk in all his ways, to love Him, to serve the Lord your God, with all your heart, and with all your soul, and to observe the Lord’s commands and decrees that I am giving you today for your own good.”

Dan banyak lagi diceritakan dalam Bible selagi mana mereka patuh kepada ajaran Taurat (Torah) mereka akan diberkati oleh tuhan, YHWH. Walaupun mereka berjaya melarikan diri ke Kanaan namun masih juga mereka belum mampu memasuki negeri itu. Kisah itu ada dinyatakan dalam al-Quran dalam surah Al-Maidah. Hingga akhirnya mereka merempat di padang pasir selama 40 hari.
Mengikut pembacaan saya, mereka mengambil masa selama 200 tahun untuk memasuki Kanaan. Pada 1029 SM, Saul menjadi raja Bani Israel yang pertama. Bagaimanapun dia mati di medan perang ketika melawan bangsa Philistines. David (Daud) kemudian menerajui pemerintahan dan menjadikan Jerussalem (Bait Al Maqdis) pusat pemerintahan. Kerajaan Israel berkembang pesat.

Kemudian Solomon (Sulaiman) menyambung legasi pemerintahan. Baginda membina sebuah kuil agung yang dikenali Temple of Solomon (Haykal Sulaiman) atau lebih dikenali The First Temple. Selepas kematiannya, Rehoboam menjadi raja. Bagaimanapun pemimpin puak di utara telah memilih raja mereka sendiri, Jeroboam. Jadi kerajaan itu terpisah dua, Israel di utara dan Judah di selatan. Mengikut catatan dari Bible mereka seringkali menyimpang dari ajaran Torah (Taurat). Hingga pada suatu tahap mereka menyembah berhala Baal dan Ashtoreh. Dari itu sekelian banyak nabi yang dihantar Allah s.w.t. untuk membetulkan akidah mereka.

722 SM, pihak Assyria menawan Israel dan pada 586 SM, kerajaan Babylon menawan pula Judah. Mereka memusnahkan The First Temple dan membakar skrip-skrip agama. Bangsa Israel ditawan dan dibawa ke Babylon untuk dijadikan sebagai hamba. Ketika inilah para pendeta Yahudi membesarkan hati kaumnya dengan konsep Janji Tuhan dan Bumi nenek Moyang hingga akhirnya mereka berkobar-kobar untuk kembali ke Kanaan (Palestina).

Diceritakan bahawa dalam tempoh itulah mereka menulis kitab-kitab untuk memelihara agama mereka. Mereka menulis hukum-hukum agama, sejarah nabi-nabi, dan lagu-lagu agama. Mereka tulis berdasarkan apa yang mereka ingat dan dipelajari dari pendeta dan golongan ‘senja’ mereka. Pada 400 SM mereka menerbitkan salinan pertama Torah yang mereka tulis dalam masa penahanan di Babylon yang merangkumi lima buku utama, Genesis, Exodus, Leviticus, Numbers, Deutronomy dan dikenali Hebrew Canon.Undang-undang asas agama Yahudi. Pada 200 SM mereka menambah lagi buku-buku yang memerikan nabi-nabi mereka, Joshua, Judges, Samuel, Kings, Isaiah, Jeremiah, Ezekiel dan skrol yang mengandungi 12 nabi lain.

Bangsa Yahudi percaya yang ras lain, Gentiles adalah diciptakan tuhan untuk kepentingan mereka. Pada 322 SM Alexander The Great menawan Judah. Setelah kematiannya, jajahannya dibahagiakan kepada jeneral-jeneral perang. Judah di bawah pimpinan Ptolemy dan keturunannya Ptolemies kekal merdeka dan diuruskan High Priest dan majlisnya. Pada masa inilah kaum Yahudi membina The Second Temple.

Pada 168 SM raja Seleucid, Aniochus IV membuat sebuah altar untuk tuhan Zeus di dalam Second Temple yang menggantikan The First Temple yang musnah dalam usahanya mengembangkan budaya Greek dalam proses Hellenization. Malangnya Yahudi enggan menyembah Zeus dan mereka memberontak dibawah pimpinan Matathias dan lima anaknya yang dikenali dengan Maccabees.

Selama 25 tahun akhirnya Judah berjaya dimerdekakan. Maccabees memerintah secara bergilir dibawah nama Dinasti Hasmonean. Begitupun pada 160 SM Kerajaan Rom pula menguasai Judah. Mereka melantik Antipater, yang berdarah separuh Yahudi sebagai pemerintah Judah. Selepas kematiannya, anaknya Herod menggantikan bapanya sebagai pemerintah Judah.

Dia membaik pulih kembali The Second Temple kepada keadaan asal. Struktur asal yang tinggal dari The First Temple ialah sebuah bilik dalaman yang dikenali dengan Holy of Holies. Herod kemudiannya membina pelbagai kompleks disekeliling bilik itu. Namun selepas kematian Herod anak-anaknya berbalah merebut jawatan hingga wujud political anarchy.

Pihak Rom mengambil kesempatan dan menjadikan Judah salah satu wilayah jajahannya. Raja Titus bertindak kejam terhadap kaum Yahudi dan mengeluarkan arahan melarang mereka ke Second temple untuk beribadat dan melarang mereka berdiam di Jerusalem. Kaum Yahudi begitu merana di bawah pemerintahan Rom.

Setakat itu sahajalah cerita saya untuk entry kali ini, kerana kalau mahu dilanjutkan lagi panjangnya adalah sampai kepada dua buah buku. Insya Allah akan saya hurai lagi sejarah mereka dalam entry yang lain. Begitupun apa yang saya mahu tekankan adalah kitaran naik turun bangsa yahudi itu.

Dari sebuah bangsa yang mulia pada zaman Nabi Yusuf mereka ditindas pada Firaun. Kemudian ke puncak lagi pada zaman nabi Daud dan Sulaiman tetapi kemudian ditindas lagi pada zaman Romawi. Dan kini mereka sekali lagi menguasai dunia. Maka apakah umat Islam tidak dapat untuk mengambil walau secebis pun pengajaran dari kisah perjuangan bani Israel untuk menegakkan daulah mereka di bumi Allah.
Bahkan dari keyakinan mereka kepada Bumi Tuhan yang dijanjikan itulah menunjukkan mereka punya kepercayaan yang mantap dan teguh terhadap janji tuhan kerana mereka yakin tuhan tidak memungkiri janji, maka apakah kita tidak malu dengan bangsa yang selama ini kita caci dan cerca? Fikir-fikirkanlah. Dimana pula tarafnya keyakinan kita pada janji tuhan?

Sampai bila lagi kita mahu mencedok, bahkan sudah sampai masa untuk kita pula yang menuang peradaban dunia. Seperkara lagi saya mahu tegaskan, musuh kita ialah zionis dan rejimnya. Kita tidak memusuhi agama Yahudi dan bangsanya bahkan perlu diingat kebanyakan nabi dari keturunan Israel. Musuh kita adalah kafir harbi yang memerangi kita. Apapun,

“Ya Allah bebaskanlah al quds kami, ringankanlah beban saudara kami di Palestin, selamatkanlah baitul maqdis, jadikanlah kami muslimin/muslimat yang membebaskannya!”

Rabu, 20 Ogos 2008

Pauh oh pauh...

Pauh oh pauh…

Hari ini kelihatannya Ustaz Saidi tiada di rumah. Maka secara automatiknya Tuk Wanlah yang menjadi imam di surau kampung. Hari itu pun memang tidak ramai jemaah, Pak San, Pak Su Lah, dan Cikgu Man. Semuanya jemaah senja Cuma saya sahaja yang masih meniti Subuh barangkali.

Usai sahaja solat Asar Pak Su Lah cabut meninggalkan surau yang bercat hijau di tepi simpang itu, betul-betul pula di hadapan rumah saya. Tuk Wan buka cerita fasal orang eksiden, Mamat seperti yang saya curi-curi dengar. Ceritanya Mamat terlanggar belakang sebuah kereta yang juga mengikut ceritanya tak memberi isyarat berhenti di simpang.

Mungkin kerana merasakan Mamat itu masih juga remaja, makanya pemandu itu menyalahkan Mamat atas ‘kecuaiannya’. Rasanya kita perlu menuntut emansipasi ke atas semua rakyat Malaysia! Hanya disebabkan perbezaan umur dijadikan ukuran dan faktor oleh pemandu untuk menyerlahkan dia yang patut dihormati? Pemikiran abad ke tiga barangkali. Mungkin sahaja patut dicampak pada zaman dinasour.

Itu cerita Mamat. Habis cerita Mamat, dari jauh kelihatan pula dua tiga ekor kera duduk tercongok di atas jalan betul-betul di hadapan rumah saya. Ingat dahulu saya pernah bercerita yang ibu saya sering gundah lantaran beruk, kera, lotong dan entah spesies apa lagi yang menginjak zink rumah saya. Hingga terkopak dan bocor disana-sini. (Wakil rakyat! Dimana anda?!)

Kera-kera itu pula sepertinya langsung tidak takut dengan manusia. Bahkan menyeringaikan giginya konon untuk menakutkan kita pula. Sekali dijerkah, sekali pergi, dua tiga kali datang kembali. Memang jenuh menghambat kera-kera itu.

Dijadikan ceritanya, dihadapan rumah saya ada berderet pohon buah-buahan. Tapi yang paling menjadi masalah ialah pohon pauh (mempelam) yang berada dihadapan rumah. Pohon itulah yang dijadikan pusat transit oleh kera-kera yang datang dari rumah arwah Mak Su Esah sebelum melompat ke rumah saya.

Dahulu pernah ada ura-ura mahu menebang pohon itu tapi entahlah, sayang katanya masih juga lebat berbuah, produktif dengan hasilnya. Walaupun buahnya tidaklah sebesar mana tapi pohon itu sepertinya menimbulkan polemik panjang dalam kalangan keluarga kami.

Tambahan pula buahnya selalu sahaja diambil kera ataupun joggers yang rata-ratanya kaum cina. Maklum pohon itu letaknya ditepi jalan. Maka setiap kali mereka melintas di hadapan rumah saya. Ada yang berpura-pura menggeliat dan mengangkat tangan tinggi dan, ‘zaappp!!!’ dua tiga biji masuk poket.

Tidak juga di kampung saya, bahkan di Seberang Perai pun hangat isu ‘Pauh’. Pilihanraya kecil Permatang Pauh yang kian hangat dengan ceramah-ceramah yang rata-ratanya menabur benih tebu yang hanya subur sewaktu berkempen. Retorik kosong dilontar dari rostrum. Tak terpermanai hebatnya dan semangat yang ditonjolkan.

Dan sekali lagi, entah berapa ramai yang termakan janji-janji manis berbusa dimulut. Saya sudah jenuh dan muak dengan gimik politik, kalau betul mahu jadi pemimpin, maka jadilah pemimpin. Bukan pemidato yang hanya hebat bercakap.

Pauh di kampung saya direbut kera dan joggers, ‘pauh’ di Pulau Pinang direbut mereka-mereka yang tidak ubah seperti ‘itu’. Merebut buah yang kecut dan masam di negeri yang dikuasai orang-orang cina. Ini bukan libel! Tidak usahlah digembar-gemburkan sedemikian rupa. Ada baik kiranya perhatian yang sedemikian diberi kepada mereka yang lebih memerlukan.

Pauh oh pauh. Buah yang kecil tapi isunya besar. Tidaklah Tuhan menjadikan sesuatu itu untuk sia-sia. Surah Ali Imran ayat 191. Ciri-ciri ulul albab. Maka berfikirlah tentang ciptaan Allah s.w.t. Ingatlah Allah dalam kedaan berdiri, duduk mahupun berbaring. Itulah ulul albab!!!