Powered By Blogger

Jumaat, 28 November 2008

Hidup bukan sebuah cerita


Saya meninjau-ninjau di sebuah kedai buku suatu hari. Perkara pertama yang benar-benar menarik perhatian saya. Bahagian novel, mata saya tertancap pada sebuah novel, disebalik lambakan novel-novel cintan sampah yang memenuhi tiga buah rak di situ (apa rakyat Malaysia benar membaca novel-novel itu?), ada sebuah rak novel Melayu.

Ada sebuah novel, tajuknya ayat-ayat kasih. Ada lagi saya lihat, zikir-zikir cinta dan banyak lagi yang membuatkan saya bertanya pada jiwa,
“wah penangan kang Abik, apa penulis Malaysia sudah ketandusan idea?”

Semenjak ledakan novel ayat-ayat cinta (yang penulisnya, Kang Abik singgah di rumah akhi Mizan, (http://ikhsaninsan.blogspot.com/) dan Halimi,(http://generasighurabaq.blogspot.com/) itulah!) arusnya kelihatan begitu ketara mempengaruhi penulis Malaysia.

Novel cinta?

Sheikh yusuf estes sewaktu ditanya pendapatnya isu Palestin beliau tidak menjawab, katanya dia hanya merupakan seorang daripada berbilion manusia di atas muka bumi. Maka pendapatnya hanya mewakili satu per berbilion manusia. Jadi katanya tiada guna dia menjawab. Setiap orang pasti berbeza fikirnya.

Seperti kata Datuk Seri Chua Soi Lek, “conflict in a political party is a must, its very common if some group disagree with another, if a party does not have conflict, then you have got problem with that party, because if everyone just agree with one thing then it means that everbody is a yes-man.”(lebih kurang begitulah)


Saya suka menonton filem atau membaca novel. Dari situ saya dapat menilai masyarakat dan kehidupan. Namun seperti kata seorang teman. Hidup ini bukanlah sebuah cerita. Lama saya memikir, ada logiknya. Anda tentu pernah sahaja membaca novel ayat-ayat cinta. Atau hadirkanlah novel apa pun yang anda pernah hadam. Bahagian apakah yang paling pembaca benci, tentu sahaja bab terakhir dalam novel.

Sejak kita mula membaca, minda kita seolah tenggelam dalam setiap muka surat, turut sama berada dalam cerita bersama wataknya. Apatah lagi andai cerita menggunakan penceritaan sudut orang pertama. Barang tentu kita membayangkan yang meniti plot adalah diri kita. Dan sering sahaja apabila sampai ke bab terakhir, kita kan mengeluh. Sampai disini sahajakah?

Hidup ini indah bukan (bukan?). Seorang teman pernah berkata, insan yang menulis sebenarnya adalah pelukis, cuma warnanya ialah kata, kanvasnya kertas polos, dan subjeknya ialah pandangan hidup. Lukisan yang terhasil pula nanti boleh jadi macam-macam. Surreal, satira, alegori, atau apa sahaja. Dan katanya lagi, insan yang menulis punya lesen besar. Sekalipun dia menghentam raja sebuah negara, namun alasan penulisan kreatif boleh sahaja menjadi penyelamat. Namun itulah juga yang menjadi tanggungan atas pundak. Bagaimana kita mahu gunakan tiket itu.

Berbalik kepada cerita. Hidup ini bukan sebuah cerita. Begitu kata seorang teman saya. Teman yang lain pula, adalah sebuah cerita, kehidupan kita. Bagaimana pula? Teman-teman saya, macam-macam ragamnya.

Pernah baca hikayat Hang Tuah? Bagaimana digambarkan seorang manusia gagah perkasa, punya ilmu penuh di dada, pernah juga bertemu nabi khidir yang mulia, penentu jatuh bangun kota Melaka, kadang saya tertanya, kalau begitu apa fungsi raja Melaka, Hang Tuah hebat tiada terkira, semua kerana tuntutan sastera sebuah cerita.

Kalau ayat-ayat cinta, digambarkan Fahri insan yang hampir sempurna, kata seorang teman saya. Ramai yang mengimpi, ‘akulah Fahri’. Teman-teman saya tidak terkecuali. Betapa indah hidup seperti wataknya. Namun sekali lagi, hidup bukanlah sebuah cerita.
Teman saya ada seorang yang amat benci kepada novel. Katanya membaca novel memberi harapan palsu.

Kerana dia terlalu menghayati barangkali. Dia mengharap ada wanita seperti watak Aisha atau Maria. Namun dia sedar hidup bukanlah sebuah cerita. Dan pada bab terakhir dia kecewa. Teman saya mengeluh, “kalau hidup aku macam novel ayat-ayat cinta…”

Dalam kita sedar ataupun tidak. Watak-watak dalam setiap cerita, hanyalah lakaran imaginative penulis. Kadang saya ketawa, bagaimana seorang lelaki seperti kang Abik dapat ‘menjadi’ Aisha dan Maria. Atau A. Samad Said (SN) ‘menjadi’ Salina. Bagaimana seorang penulis dapat menjadi sesiapa sahaja dalam dunianya. Dan sekaligus membuat kita percaya bahawa watak itu benar-benar ada.

Masih juga, novel yang saya kira terbaik pernah saya baca, Cinta Hari-hari Rusuhan:Faisal Tehrani. Novel ayat-ayat cinta saya kira belum mampu menandingi novel ini. Bagaimana saya tenggelam dalam cerita gerakan underground pelajar untuk menjatuhkan pimpinan kerajaan. Apabila Faisal Tehrani menulis bagaimana seluruh mahasiswa di Malaysia bergabung tenaga dalam rapat umum di masjid negara. Saya turut sama naik semangat untuk berdemonstrasi.

Novel cinta hari-hari rusuhan, walaupun tajuknya sedemikian namun cerita cinta seorang anak kampung, Basri yang juga pemimpin pelajar di UM dengan teman sekampus Tengku Valizah, kerabat diraja, hanyalah sebagai sampingan kerana fokusnya ialah kritikan yang sangat pedas terhadap kerajaan Malaysia. Novel CHHR begitu berhantu saya kira, Faisal Tehrani berjaya mengajak semula kita berfikir tentang hubungan dengan yahudi apabila Basri lari ke London kerana dikehendaki kerajaan Malaysia. (anwar ibrahim?)

Kadang-kadang membaca novel itu membuatkan saya terfikir betapa kuasa pelajar mampu menjatuhkan sebuah kerajaan. Ingat kerajaan Thailand pernah dijatuhkan gerakan pelajar pada 1973 (http://www.onwar.com/aced/data/tango/thailand1973.htm)

Namun sekali lagi hidup bukanlah sebuah cerita. Saya dirundung kecewa apabila sampai ke bab terakhir. Dan saya sekali lagi terfikir, cerita itu hanyalah lakaran imaginasi FT. Watak-watak itu tidak pernah wujud barangkali. Kata seorang teman, dia kagum dengan penulis. Bagaimana jiwa seorang manusia, boleh lahir darinya seorang aktivis, atau seorang raja yang berkuasa, atau teruna gagah perkasa, mahupun cantik jelita, juga insan durjana. Dan itu semua bila difikir kembali, hanyalah lakaran minda SEORANG manusia.

Kerana itulah kata seorang teman, hidup ini bukanlah sebuah cerita, kerana cerita itu ditentukan plotnya oleh seorang tukang cerita. Hidup kita pula bergerak atas landasan ketentuan Allah. Maka sebab itu katanya membaca novel memberi harapan palsu. Kita tidak akan pernah mengecapi keindahan seperti sebuah novel.

Tetapi katanya, hidup kita bahkan akan lebih cemerlang lagi warnanya. Kerana plot ditentukan Maha Pencipta. Pesannya kepada saya, senyumlah dalam hidupmu.

Kadang saya juga berpendapat novel itu hanyalah mempermainkan minda untuk mempercayai sesuatu yang tidak pernah wujud. Dan saya suka untuk berkongsi dengan apa yang Shahnon Ahmad (SN) pernah utarakan. Sebelum itu.

Kata seorang teman saya yang lain hidup ini adalah sebuah cerita. Dan saya juga setuju.

Cerita-cerita kaum terdahulu yang dimusnahkan dalam al quran. Bukankah ia sejarah yang benar. Maka diperturunkan kepada anak-anak sebagai CERITA teladan. Bagaimana kisah sebuah bangsa kini telah menjadi cerita. Dan kerana anggapan kita cerita bukanlah sebuah kehidupan. Maka sebenarnya jarang pula yang mengambil TELADAN.

Shahnon Ahmad menulis, betapa melalui al quran Allah yang Maha Tinggi telah ‘memberi’ garis panduan dalam memerikan watak dan plot. Dan saya kira itulah jawapan kepada persoalan seorang teman berkenaan 'memberi harapan palsu pada hidup’.

Perhatikan kisah nabi Yusuf <12:3-102>. Jika kita memerhatikan ayat 50 dan 51. Betapa Allah s.w.t. mewahyukan kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana isteri al-Aziz (ramai yang mencanangkan wanita itu Zulaikha namanya namun saya belum pernah menemukan sumber yang sah bahkan al-quran tidak menyatakan namanya) dalam cara yang paling berakhlak, juga bagaimana kekacakan nabi Yusuf tidaklah diberi gambaran melampau, perhatikan,
“…mereka berkata, “Maha Sempurna Allah, kami tidak mengetahui sesuatu keburukan darinya,…” <3:51>

Itulah yang terlebih elok, maka orang yang membaca tidak akan membayangkan yang bukan-bukan bagaimana isteri al-aziz ketika menggoda nabi Yusuf hingga merangsang syahwat.

Juga bagaimana Allah yang Maha Penyantun (al Halim) menceritakan kisah kaum nabi Luth. Surah ke 11:69-83. Tidaklah tuhan yang Mulia, Allah s.w.t. memerikan perbuatan kaum nabi Luth hingga kepada menaikkan nafsu orang yang tidak sihat. Betapa Al-Quran merupakan mukjizat teragung dari Allah s.w.t.

Berbalik kepada persoalan awal. Hidup ini sebuah cerita ataupun tidak terpulanglah bagaimana kita mentafsir alam jiwa.

Rabu, 26 November 2008

wanita superku

Dalam kota kecil hidupku
Seputar alamnya ada wanita super
Tenaga selaksa lasykar peringgi
Berbudi dalam kota hidupku
Percuma sahaja dia memberi
Saatku manusia kecil hingga insan tahu memilih
Wanita super itu setia memberi kasih
Sekolahku yang pertama
Mengajarku kalam dan tulis baca
Wanita super itu ajar semuanya
Tapi hidupnya sederhana
Tidak punya bertimbun harta
Atau kostum ranggi mencolok mata
Cuma modalnya
Hati yang luar biasa
Kerana wanita super itu
Ialah ibuku!

Faisal Muhammad M.Z.
Laman Kota Jiwa
8 nov 2008

Sebuah keNIKMATan yang diNAFIkan.

Kuala Krai dilanda hujan lagi, saya pun masih mengira butir-butir air yang menari galak turun ke bumi. Tiga bulan sudah saya meninggalkan kampung Batu Lada berada di tanah orang. Dan masih seperti sediakalanya kampung saya. Geger dengan riuh tawa masyarakat kampung dan hilai ungka dan lotong serta kera yang setia menghuni rimba sekunder di sekitar kampung.

Benar itulah damai yang saya impikan, biarpun dalam bingit dentuman air hujan pada bumbung zink rumah saya. Masih juga tenang saya rasakan dalam musim tengkujuh ini. Hujan, hujan dan hujan. Air, air dan air. Dua perkataan yang saya kira sudah acap kali meniti dari bibir rakyat Kelantan dari utara ke selatan.

“Allah yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang Dia kehendaki, dan menjadikannya bergumpal-gumpal, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya…” <30:48>

Hujan turun tidak menentu di Kuala Krai. Kadang petang, kadang pagi tapi banyaknya malam. Dari itu banyak jugalah segala rencana terpaksa dirangka semula. Hujan pula turnnnya putus-putus, tapi lebatnya usah dicerita. Ironinya, dalam penangan hujan lebat itu. Kampung saya mengalami keputusan bekalan air. Air paip sepertinya dicatu, kalau pagi ada, petangnya angin sahajalah yang keluar dari bibir paip. Tapi bilnya melambung juga (?).

Makanya oleh kerana masalah itu, telinga saya pun tiadalah lepas dari menangkap cakap-cakap orang. Semua merungut, yang menoreh terpaksa ikat perut, pesawah tiada dapat ke bendang, nelayan apatah tidak turun ke laut. Semuanya merungut kerana hujan. Ibu saya pun merungut dengan kehilangan misteri bekalan air.

Dalam meladeni jiwa saya. Seorang teman bertanya,
“bakpo mung tok make duye?”
Saya terfikir, lama juga saya berfikir. Namun tidak juga saya temui kenapa saya alah dengan durian, dan cuma gelengan kepala sahaja yang menjadi jawapan saya. Dahulu pernah sekali saya cuba makan seulas, akhirnya saya muntah-muntah. Bau durian sudah cukup membuatkan saya berpinar.

Perkara-perkara sebegini menuntun akal saya untuk berfikir setiap kali. Orang sering membicarakan penangan durian, kesedapan yang tidak terkata, tekstur yang lembut, rasa lemak-lemak manis. Namun disebalik semua itu saya hanya mampu menjadi pendengar yang setia. Menemani keluarga kadangnya. Saya melihat sahaja.

Itulah sebuah nikmat yang dinafikan terhadap saya. Saya tidak akan pernah dapat mengecap nikmat durian sebagaimana penggilanya.

Apabila seorang teman mengadu kepada saya, sepertinya punya masalah negara. Hidupnya sengsara. Dia berduka lara. Ditinggalkan kekasih jiwa. Dia bertanya,
“adakah ini juga nikmat dinafikan terhadap saya?”
Saya menyelam ke dalam alam akal saya sebelum memberi jawabnya. Walaupun saya bukan insan sempurna. Tetapi secebis dari teman setia, pasti mengubat dukanya. Walau sebenarnya saya ingin sekali ketawa.

Saya bermula dengan bertanya pada jiwanya. Sedang kita bergelak tawa, di bahagian lain dunia selaksa macamnya. Apa kita pernah memikirkan saudara kita di Mindanao, Setul, Yala, Narathiwat, Pattani, Basra, Baquba, Najaf, Kabul, ataupun Baitulmaqdis atau dimana sekalipun.

(olahan dari petikan sajak ‘bumi sudah sebak’:Faisal Muhammad MZ)
Perut mereka kenyangkah hari ini?
Semalam tidur mereka berselimutkah?
Atau mereka tidak pernah sempat melelapkan mata?
Bagaimana pula dengan anak kecil?
Adakah juga bermimpi harapan untuk hari esok?

Semalam saudara saya meninggal dunia, saya tidak pernah mengenalnya. Apatah lagi bersua muka. Namun saya tahu dia saudara saya, walau kami tidak punya ikatan keluarga. Namun kami berkongsi iktikad sama. Atas kalimah syahadah serupa. Saya tahu dia saudara saya. Saya bertanya lagi teman itu, apakah dari kerana saban hari juga kita dilaporkan dengan kematian ‘rakyat’ (sebetulnya mentality kita mentafsir perkataan itu yang lain, ataupun media punya agenda?) palestin maka hal itu menjadi klise?

Itulah nikmat persaudaraan islam yang kita nafikan pertamanya.

(Petikan cerpen Amat,Faisal Muhammad MZ)

“Adapun hamba ini membawa tiga pesan. Dari bijak pandai zaman dahulu dan segala utusnya,”
“Pesan? Maksud datuk Laksamana?”
“Pertama pesan hamba untuk anak, Suara anak ditahan tuhan buat sekian lamanya adalah tidak bermakna zalimnya tuhan itu seperti anggapan orang yang lemah akalnya. Seperti juga orang tiada mampu melihat, nescaya terhindarlah dianya dari menanggung dosa melihat yang maksiat, yang tuli itu terhindar dari dosa mendengar fitnah, yang bisu terhindarlah dari celaka mulutnya. Terhijab pancaindera terhijab dosa pada fikiran orang yang panjang akal,”

Itulah nikmat pancaindera yang dinafikan kita.

Kemudian saya tinggalkan teman saya, bersama persoalan dalam mindanya. Setelah saya minta padanya untuk bertanya pada jiwa.

Seperti cerita hujan di kampung Batu Lada,

“…maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka bergembira. Padahal walaupun sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.” <30:48-49>

Maka nikmat tuhan yang mana pula kita nafikan? Ingat dahulu kempen alam sekitar, fikir dahulu sebelum buang. Jadi mari kita fikir dahulu sebelum cakap, fikir, tulis atau apa sahaja tindaknya.

Isnin, 17 November 2008

bosan...

Berikan saya sebatang pena

Sejak dari tadi saya melangut sahaja. Perasaan jiwa ini kosong. Benar, dan kekosongan itu begitu menguasai, sehinggakan saya mati andar segala upaya untuk mentafsir alam. Pelik bukan? Dahulu pernah ada seorang teman. Jiwanya juga lompang bahkan dia lebih teruk seperti hilang arah, penasaran pada kekosongannya, dan apabila membicarakan soal kekosongan jiwa. Ramai teman yang berkata,
“Baliklah kepada tuhan,”
“Carilah tuhanmu,”
dan semuanya mengarah pada pencarian. Hidup ini menyeksakan? Saya belek-belek kitab Teaching of Buddha yang berwarna hitam di rumah satu hari, dan dalam book of Dharma, Shakyamuni mengatakan memang hidup ini penuh dengan penyeksaan. Begitulah ‘teaching’nya.

Kemudian saya berfikir. Semuanya mudah di mulut, hakikatnya berapa ramai yang berjaya menemui tuhannya? Tidak kira apa agama sekalipun. Bahkan bagaimana mahu balik kepada tuhan sebenarnya? Bukan pula saya mempersoalkan tapi kata seorang teman, pancarian itu hanyalah khayalan kita sahaja. Permainan minda.

Katanya lagi bagaimana mungkin mahu mencari tuhan?
“Kerana tuhan itu tidak pernah bersembunyi!”
Apatah lagi tuhan tidak pernah hilang untuk dicari. Walhal Paul, salah seorang diciples of Jesus (read:self appointed) insan yang kononnya mendapat revealation dari Jesus supaya menyebarkan ajarannya. Yahudi itu pun menukar nama dari Saul kepada Paul dan menjalankan misinya, lalu lahirlah book of Galatians, book of philipians dan sebagainya dalam New Testament itu. Nah! Bahkan insan celaka itupun mendakwa Jesus yang mencarinya, mengapa pula kita yang sibuk mencari tuhan yang tidak pernah hilang ataupun bersembunyi itu? Kata seorang teman, kita yang sebenarnya bersembunyi, jadi munculkanlah diri. Ah, teman-teman saya. Ada-ada sahaja cerita mereka.

Saya meladeni jiwa lagi. Selepas beberapa ketika menulis. Kelompangan itu semakin terisi sepertinya. Adakah saya mencari tuhan? Tidak! Kerana tuhan tidak pernah hilang untuk dicari. Jadi saya memunculkan diri, dan tuhan mengisi kelompangan hati! Aneh bukan? Bagaimana sebenarnya kita sering salah mentafsir pada hal yang berkait dengan diri sendiri.

Seperti juga kata seorang teman, apabila saya bertanya suatu hari,
“Kenapa mahu ke daerah sunyi?”
“Mahu mencari jiwa yang hilang…”
Jawabnya mahu buat pencarian jiwa yang telah hilang sekian lama. Lalu saya ambil masa untuk mentafsir alamnya. Jiwa?
“Menate gapo tuh?”
Orang yang hilang jiwanya, samakah dengan orang yang bersembunyi dari tuhannya? Jiwa itu hatikah? Dan saya mentafsirsedalam-dalamnya, seperti Hamka mentafsir untuk Al-Azharnya, Syed Quthb untuk Fi Zilalil Qurannyadan Ibn Kathir, Mujahid serta lainnya. Kerana kerja-kerja mentafsir itu bukan barang yang boleh dibuat main. (Jadi jangan mudah mentafsir orang, pemimpin atau masyarakat).

Saya berkelana dalam jiwa saya. Umpama seorang insan tua yang mencari rahsia tuhannya, dan saya temui.
“JIWA ITU BUKAN HATI!”
Ya! Seperti kita tahu yang Mind is not the brain, but part of the brain. Apabila manusia memebicarakan ‘hati’. Kita umum mengetahui yang dimaksudkan itu ialah ‘fikiran’. Bukan hati yang menghasilkan hempedu untuk memecahkan molekul lemak dalam proses pencernaan! Jadi jiwa itu bukan hati, hati itupun bukan fikiran, jiwa itu bukan fikiran, namun ketiganya itu adalah roh.

Seperti trinity, tiga oknum dalam jasad yang satu. Tapi jangan bimbang, ini trinity yang di’islam’kan. Siapa kata? Saya kata!

Jadi siapa yang hilang jiwa, tidak usah dibuat pencarian di daerah sunyi. Kerana ia pasti melibatkan kos yang tinggi, perbelanjaan makan sehari-hari, tempat tidur dan urus diri, eh! Jangan dicari. Kalau hilang jiwa masih ada hati, kalau hilang hati masih ada fikiran. Kalau hilang fikiran masih ada keduanya berbaki. Tapi jangan dihilangkan roh! Nanti kita mati.

Jiwa saya makin terisi, cahaya menerangi, bukan lagi kegelapan, itu pasti! Bagaimana dengan anda yang membaca? Pernahkah bertanya pada diri? Pakah yang dicari dalam hidup sebenarnya? Jangan jawab tuhan kerana Dia tidak bersembunyi, juga jangan jawab ketenangan hati atau murah rezeki. Seolahnya Dia tidak pernah memberi. Mahu jawab apa? Fikirkanlah. Hidup ini terlalu mudah. Bangun setiap pagi dengan rutin yang sama seperti semalam. Itu hanya pandangan kita. Cuba persoalkan jiwa atau apa sahaja yang berlaku di atas dunia.

Bertanyalah pada teman-teman. Pasti hidup ini bukan seperti yang kita sangka. Banyak yang belum diteroka. Semuanya menunggu saat untuk kita bertanya. Dan apabila anda sudah mendapat jawapan hidup, pintalah kepada sesiapa, berikan saya sebatang pena.

Al-Qalam:1<….demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan…>

Rabu, 12 November 2008

Pemberitahuan

blog baru

http://faisalmz.blogspot.com