Powered By Blogger

Rabu, 25 Jun 2008

Sal Abesa, “Saya tanda cinta!” (Dari kerana mata)

Sal Abesa, “Saya tanda cinta!” (Dari kerana mata)

Saya sedang dalam kebosanan. Merenung pada telefon bimbit. Mengharap pada mesej yang akan tiba mengetuk pada peti masuk saya. Namun hampa. Entah mengapa tapi semacam ada satu bahagian pada lubuk rasa saya yang seringkali mendatangkan kegelisahan pada diri. Gundah yang jarang benar dapat diungkap pada kata. Berkurun saya mencari, selalu akhirnya saya akan menyendiri. Saya seboleh-bolehnya mahu lari jauh daripada peradaban manusia. Biarlah saya sendiri yang mengerti pada diri yang saya sendiri sukar fahami.

Cuti bulan Jun tidak banyak berlaku pada saya. Cuma memenuhi undangan ke majlis kenduri-kendara sanak-saudara yang saya sendiri baru kenali. Ke Terengganu di rumah Tok Teh, singgah di rumah Ayah Su, sebelum balik ke Kelantan ke rumah Che Ton di kampung Raja. Rumah Anis (saya cuma ingat pada anak gadis 16 tahun itu (^_^), lupa terus nama ibunya). Merentas jalan tar ke Pasir Puteh pula, melalui pantai Tok Bali, melepasi Bukit Tiu (latar tempat cerita ’Mimbar’), Bukit Muka dan bermacam jenis bukit lagi yang namanya saya kurang hafal. Sampai di rumah Su Nah. Mak Long dan konvoi kami sekeluarga melepas lelah disitu.

Perjalanan dari Terengganu itu benar satu perjalanan yang bagi saya menarik (saya jarang keluar rumah). Bukan kerana bertandang ke rumah adik beradik sebelah ibu, tapi pada segala yang terhadam oleh saya sepanjang perjalanan itu. Ayah, baru saya kenali disebalik jenakanya seorang ahli sejarah tidak bertauliah. Petah lidahnya pada segala sejarah tempat yang kami lepasi. Walaupun saya agak skeptikal namun ternyata ayah punya rencah dalam menyampaikan faktanya supaya tidak tawar.

Sebelumnya saya ke Ketereh. Ahhh. Kampung sebelah ayah yang bagi saya cukup menarik hati saya untuk menarik gebar rahsianya. Kampung golok cukup indah dengan alamnya. Jalan untuk masuk ke rumah datuk cuma muat untuk sebuah kenderaan. Di kiri dan kanan jalan sebelum masuk ke simpang ada sawah yang seluas mata memandang. Saya cukup senang memandang pada sawah itu. Awan gemawan yang menggejuju dengan bentuk yang berbagai di kanvas biru langit. Kerbau yang sayu mengenang nasib. Di sebelahnya ada jentera gergasi kuning. Kampung sebelah ayah memang menarik. Bolehlah dikatakan semua jiran di kampung itu merupakan saudara saya. Tetapi cuma datuk sahaja yang jelas mengenai pangkat mereka. Kami yang terkemudian cuma mengenal mereka sebagai ’waris-warah’ (dialek Kelantan yang membawa makna saudara jauh).

Ahhh!!! Tinggalkan dulu cerita itu. Saya mahu jujur kali ini. Sebetulnya gundah saya pada yang bila diajukan pada seorang teman, kemaruk orang berkasih katanya (???). Usahkan saya, bahkan sepertinya ayam-ayam di bawah rumah, Jo, Maria, Hitam dan lain-lain turut berkokok kehairanan. Saya cuma gelak terbahak-bahak. Umpama melihat babun berterbangan dan lembu meluncur sungai. Pertama kali hati saya tertaut pada insan kaum Hawa tatkala umur mencecah enam tahun.

Namanya biarlah rahsia. Darah saya berderau setiap kali menatap wajahnya. Dua tahun saya menyulam hati dengan impian berkasih. Mungkin sesuatu yang terlebih matang bagi kanak-kanak seusia itu. ( ”rupa muda,minda dewasa,” kata Aiman Manap, terima kasih Akhi). Namun matang pada minda, laku saya tetap kanak-kanak. Saya seringkali mahu mendominasi keadaan. Kadangnya membawa kecelakaan pada akibat mahu menunjuk depan si ’dia’.

Darjah dua saya berpindah dari Gua Musang ke Kuala Krai. Setahun berlalu dengan aman. Darjah empat saya mula mengenali seorang kanak-kanak perempuan yang menambat hati saya. Namun saya tidak pernah berani untuk menegurnya. Cuma sesekali lawak bodoh untuk menarik perhatianya. Hati saya terus terpikat pada dia. Usia 11 tahun, saya mula untuk meminggirkan perasaan itu. Cinta saya mula bertaut pada buku. Teks komsas tingkatan 4 dan 5 saya habiskan ketika darjah lima. Kemudian, saya terjumpa almari buku lama datuk. Cinta saya pada perkataan terus sahaja mekar. Pembacaan mematangkan saya dalam berfikir. Walaupun kadangnya keputusan saya langsung tidak rasional.

Melangkah ke sekolah menengah saya lupa terus pada ’kasih yang tak berbalas’. Umur 14 tahun, tiba-tiba sahaja ramai teman saya menjadi monyet. Saya cukup jelik. Pulang bercuti di kampung, bersama teman di pondok ataupun rumah Naim, saya ataupun Haziq, kadangkala Hanif Zaki pun turut serta. Membuatkan saya keliru. Yang mana haiwan dimana insan. Setiap seekor tekun sahaja pada skrin telefon (no offense!).

Akhir tahun persekolahan tahun itu. Saya cuba menduga cinta pada seorang remaja perempuan. Namun nyata saya tidak betah pada perempuan. Kemudian saya tinggalkan terus dia dan mereka yang pernah menambat hati saya. Namun satu tabiat saya yang sering menimbulkan riak-riak gelisah pada ibu. Saya gemar mengulas apabila memandang seorang gadis.
”Ma, dia tu lawalah!”
”Ma kenal ibunya?”
Keluarga sering mengusik saya. Kata mereka saya gatal. Gelisah ibu mungkin kerana apa yang tersirat pada pesannya. Kalau nampak perempuan, pastikan muka ibu jadi pendinding. Biarpun dalam seloroh nadanya tegas.

Jadi sehingga sekarang saya cuba untuk mengelak dari mengalami metamorfosis menjadi monyet jadian. Kekallah saya dengan kasih tak berbalas. Kata ibu itu lebih baik. Saya menurut sahaja. Tetapi sebetulnya saya takut untuk berkasih kerana saya malu.

Saya sering berfikir betapa malunya nanti saya apabila saya berkasih. Malu saya yang paling besar tentulah pada tuhan. Cuba fikir. Setiap mesej kekasih hati pasti saya balasi. Bahkan dengan kadar yang sesegera mungkin. Setiap panggilan pasti akan saya jawab. Namun saya malu kalau mengenang, selama saya hidup sekarang tanpa kekasih pun saya kadang-kadang hanyut. Tuhan menyampaikan mesej keagunganNya dalam segala ciptaan, namun saya jarang meluangkan masa untuk menelaah. Surat cinta teragung dariNya yang sering saya abaikan. Seratus empat belas bahagian semuanya. Namun hati saya masih kurang ghairah untuk membaca. Sedangkan difikir kembali, setiap bait dalam surat cinta itu merupakan perkataan yang datang terus daripadaNya. Sepatutnya hati saya teruja membaca perkataan daripada tuhan itu!

Saya juga malu. Nanti bilamana saya mengucapkan kata-kata cumbu pada kekasih, dan kami hanyut dalam laut percintaan. Saya lupa akan cinta saya kepada tuhan. Sedangkan setiap saat saya menyedut udara tuhan. Saya bangun dari tidur sihat dengan izinNya. Lahir saya sempurna anggota. Terlalu banyak bukti kasih tuhan pada saya. Saya malu pada tuhan.

Saya juga malu pada saudara saya di palestin. Saudara saya yang sering saya lupa kerana saya tenggelam dalam nikmat aman di Malaysia. Saya malu kalau marah pada kekasih saya yang bermesraan dengan lelaki lain. Namun saya masih meyogok diri dengan jenama musuh saudara saya. Saya dayuskah kalau begitu? Malu saya kerana nanti saat saya bermesraan saudara saya pula dihenyak dengan jentera, dibedil kepala, dirobek perut, dilanyak but tentera, saudara saya menjadi yatim dan piatu. Layakkah saya untuk bergelar Islam kala itu?

Saya malu! Dari mata ini saya saksikan segalanya. Saya bisa ukir noda dosa pada papan hati saya yang hanyut di lubuk rasa, atau saya bisa saja melihat rona warna gemilang hidayah Ilahi. Semuanya kerana mata. Tetapi saya tidak minta menjadi buta, kerana saya ingin mati berjuang dengan senjata bukan dengan kata. Marilah kita sama-sama berdoa, moga-moga mata ini akan hanya terpaut pada yang indah di sisi tuhan, bukan mata hati kita yang mati. Peliharalah mata kami ya Allah!

Saya seringkali berharap, apabila saya benar-benar bertemu jodoh dengan manusia. Bukan menyulam cinta monyet. Saya mampu untuk berbuat sesuatu supaya nanti saya tidak berasa malu dengan tuhan dan saudara saya. Tuhan! Jadikanlah hambaMu ini insan berguna pada umatnya. Saya bersyukur kerana lahir saya adalah tanda cinta ibu dan ayah pada tuhan. Moga setiap dari kita juga mampu menjadi tanda cinta yang benar memberi ingatan kepada cinta sang Pencipta. Amin!!!

Khamis, 12 Jun 2008

Selamat hari lahir Sal Abesa

Hari ini hari lahir saya. Tiada yang istimewa. Cuma saya ingin coretkan rasa terima kasih kepada ikhwah-ikhwah. Saya tidak pernah menyangka kalian prihatin akan diri saya. Meski tiada hadiah yang besar, cuma tinta yang dilarik pada sekeping kad murah. Harganya tetap mahal pada hati saya. Terima kasih (sekadar menyebut beberapa nama) fawzan, afif, luqman, zuhdi, fahmi, amir, fadhil, ariff, syafiq, dan semua yang lain.

Menjawab Kekeliruan

Sudah saya jangka. Berbagai maklum balas dan respons yang saya terima daripada pembaca. Ada yang menempelak tidak kurang menyokong.

Ini bukan artikel seperti biasa yang saya tulis. Ini mungkin lebih kepada pemberitahuan untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul lewat artikel saya 'Melayukah Mahathir?'

Perkara pertama yang saya ingin jelaskan. Mengenai pendirian politik saya. Saya berprinsip pada politik non partisan. Benar kata SM Zakir. Semua parti itu sama sahaja.
Fokus utama saya pada artikel itu sebenarnya bukanlah pada persoalan kemelayuan mahathir yang ditimbulkan.

Saya sudah nyatakan bukan? Artikel itu merupakan satu daripada siri artikel saya 'Falsafah yang kian Punah'. Berbalik kepada artikel tersebut. Ramai pembaca yang samada membaca secara sepintas mungkin kemudian membuat tafsiran kurang tepat.

Siri artikel 'falsafah yang kian punah' merupakan lontaran suara jiwa saya pada bangsa Melayu. jadi dalam setiap siri saya akan membangkitkan persoalan orang Melayu dalam setiap aspek.
Artikel melayukah mahathir isunya sebenarnya bukan pada mahathir. tapi pada pemikiran orang Melayu itu sendiri yang jumud (mungkin kerana itu ramai yang kurang menghadam mesej saya barangkali).

jangan lekas melatah, bukankah melayu itu bangsa yang tinggi falsafah seninya? Cuba selami suara hati saya. Saya tidak bermaksud untuk mempertahankan mahathir pada tindakannya itu.
Kerana fokus saya lewat artikel itu ialah mengenai KEPATUHAN ORANG MELAYU PADA PEMIMPIN, BIAR BERPADA-PADA. KERANA KITA BUKAN KERBAU YANG DITARIK-TARIK HIDUNGNYA KEHULU KEHILIR .

Saya mengambil mahathir sebagai perbandingan kerana kurang ajarnya pada majlis raja-raja itu satu tindakan Melayu yang tepat pada falsafah. Cuba teliti kembali dialog Demang Lebar Daun dalam artikel itu.

Lihat pula Hang Tuah. Kepatuhan pada sultan hingga membunuh Jebat. Sedangkan mereka berteguh janji setia sehidup semati. Jebat derhaka pada raja kerana setianya pada Tuah. Tuah khianat pada jebat kerana setianya pada raja.

Jelas? Saya tahu ramai yang agak emosi dengan artikel itu. Fikir-fikirkanlah...

Sabtu, 7 Jun 2008

Falsafah yang kian punah 2 (Melayukah Mahathir?)








Falsafah yang kian punah 2 (Melayukah Mahathir?)

Sebelum saya mengutarakan apa-apa. Adalah lebih baik saya kira untuk para pembaca mengetahui kebebasan bersuara di Malaysia. Dipetik dari ‘Kebebasan Bersuara di Malaysia’ oleh Mohd Anuar Ibrahim, MATRA keluaran ke tujuh, tahun 1998, menyebut; “Hak bersuara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 10 di bawah Bahagian 2 (Hak Asasi) adalah seperti berikut:-
a. tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan buah fikiran.
b. Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata.
c. Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

Entry ini adalah kesinambungan kepada ‘Falsafah Yang Kian Punah?’ yang saya postkan sebelumnya. Seperti yang saya nyatakan sebelumnya. Saya mahukan entry ini tulisan saya yang paling bebas. Dari segi apa? Saya pun tidak pasti, bergantunglah kepada penilaian pembaca.

Melayukah Mahathir?
Bagaimana? Adakah ini dikira provokatif? Mungkin juga tidak. Berbaur fitnah barangkali. Fitnah yang bagaimana? Oh! Itu Cuma melayu punya cakap-cakap. Ini artikel politik kah? Mungkin. Tetapi saya cuba untuk lari sejauh mungkin dari bau hanyir setiap parti politik Malaysia. Offensive? Entahlah. Ini artikel agamakah? Mungkin juga. Tetapi saya cuba berenang sejauh yang terjangkau dari bayang-bayang Islam Melayuisme.

Saya sudah cukup bosan dengan janji menteri yang muluk-muluk. Bahkan juga wakil rakyat (baca perkataan ‘wakil’ itu dengan nada sinis! ). Semuanya habuk! Wah nampaknya singa ini mengaum! Saya tidak mahu mengulas panjang perihal itu. Cuma lihat sahaja sekeliling. Kita negara islam bukan? (Bukan?). Jadi, nilailah sendiri sejauh mana perkataan Islam itu diimplementasi.

Kenapa tajuk itu sedemikian rupa? Kenapa artikel ini banyak sungguh tanda soal? Kenapa agaknya? Tanyalah pada akal anda. Kita selusuri kembali sejarah Melayu. Di sini saya akan titipkan kisah-kisah yang dipetik dari ‘Sulatus Salatin’(Hikayat Melayu) yang disalin dari naskah Tun Seri Lanang. Kenapa? KERANA SAYA RASA KITA SUDAH TERLALU KERAP MENCEDOK, BUKAN YANG MENUANG!.
“Maka diberikannya Krisyna Pandita dengan alatnya; tinggallah Nila Utama kerajaan di Palembang, dipangku Demang Lebar Daun. Setelah berapa lamanya baginda dalam kerajaan bergelar Seri Teri Buana, maka baginda pun hendak beristeri. Maka baginda menyuruh memanggil Demang Lebar Daun. Maka Demang Lebar Daun pun datang mengadap, duduk meyembah; sembahnya: “Apa kehendak duli tuanku memanggil patik?” Adapun Demang Lebar Daunlah memulai asal berbahasa kepada raja bertuanku berpatik itu serta meletakkan adat Melayu setengahnya.”

Kisah Demang Lebar Daun itu berlaku di kepulauan Sumatera. Nila Utama diambil dari Wan Empuk dan Wan Malini di Bukit Si Guntang di Palembang. Manjadi raja di Indera Pura. Dari insan yang bernama Demang Lebar Daun itulah menurut Hikayat Melayu asalnya adat-adat raja Melayu. Gelaran Yang Dipertuan itupun dialah memulakan. Belum jelas? Baca pula ini,
“seperkara lagi, perjanjian patik mohonkan anugerah ke bawah Duli Yang Maha Mulia, segala hamba Melayu jikalau ada dosanya ke bawah duli, patik pohonkan jangan ia di fadihatkan, dinista yang keji-keji, jikalau patut pada hukum syarak bunuh, tuanku; jangan duli tuanku aibi. Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu; tetapi hamba pun hendak meminta janji juga pada paman.” Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri teri Buana, “ Hendaklah oleh segala anak cucu hamba , jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu cedera, berundur hingga takluk negerinya juga.”

Itu merupakan sedikit sebanyak percakapan antara seorang raja dengan seorang pembesar. Apa yang ingin saya bawakan kepada anda sebenarnya cukup mudah. Saya pasti anda yang membaca ini melayu bukan? Disisi perlembagaan, mereka yang bercakap bahasa melayu, mengamalkan cara hidup melayu dan beragama Islam adalah MELAYU! Jadi saya rasa tiada masalah kalau saya bawakan perihal MELAYUISME.

Dialog antara Demang Lebar Daun dan Nila Utama atau Seri Teri Buana itu terdapat pada bahagian awal naskah Hikayat Melayu. Satu hal yang menarik, mungkin kerana kepentingan peristiwa percakapan antara mereka ia dititipkan dalam hikayat ini, kerana isunya bukan besar, cuma kisah Seri Teri Buana mencari isteri, tetapi kisah Citram Syah yang hanyut dan membuka negeri tidak dikisahkan pula, kata pengarang kerana mengambil masa yang panjang dan berjela ceritanya. Apa yang jelas dari dialog antara mereka ialah betapa ketuanan hamba Melayu ialah pada rajanya, kerajaan raja pula pada akar rakyatnya. Kita saling bergantung antara yang diperintah dan memerintah.

Beratus-ratus tahun dahulu, dari naskah ini kita diberitahu. Dahulunya hamba melayu (yakni rakyat raja) pernah memohon janji kepada raja, jikalaupun ada salah hamba Melayu, hendaklah tetap dipelihara. Hukum dengan sewajarnya. Raja Melayu pun berteguh janji jangan kiranya rakyat raja derhaka pada raja meski raja itu jahat pekertinya.

Melayu itu bangsa yang kaya adat dan adab. Tetapi satu hal yang menarik mengenai melayu walau ianya kuat berteguh pada akar resamnya. Tetap juga terbuka sifatnya pada arus perubahan (wind of change kata band scorpion). Sebelum Islam bertapak di nusantara. Melayu menerima agama hindu dan Buddha.

Namun badai dua kepercayaan itu tidak banyak merubah pantai masyarakat Melayu. Walau kesannya ada namun tidaklah berakar umbi. Ini jelas apabila islam bertapak. Melayu begitu rasi nampaknya dengan agama baru ini. Bahkan beratus-ratus selepas zaman Merah Silu membuka negeri Semundra. Islam itu terlekat kuat pada imej melayu.

Hinggakan keluar isu masuk Islam masuk melayu. Jadi? Inilah yang ingin saya jalinkan dengan dialog Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Ingat lagi kisah apabila sultan Melaka memeluk Islam seluruh isi negeri turut melakukan hal sama? Saya sewaktu mula-mula membaca dialog itu merasa kecewa dengan nenek moyang kita. Kepatuhan yang membuta tuli biar pada raja yang zalim? Maka saya merumus memang melayu itu kuat berteguh pada adatnya. Maka tidak hairan segala dakwah Islam adalah dengan cara asimilasi ke dalam budaya Melayu.
Namun sebaik menyelak muka surat sebelah. Saya tahu Demang Lebar Daun bukannya kerbau yang menghulur hidung, atau burung yang terbang ke sangkar.

“Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuanku.” Maka titah Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu;” maka baginda pun bersumpah-sumpahanlah dengan Demang Lebar Daun.”

Nenek moyang rakyat raja itu akalnya panjang. Dalam nada lembut dia memberi amaran. Jikalau raja telah berbuat khianat pada janjinya. Maka rakyat pun khianatlah pada setianya. Dari itulah ada bidalan; “Raja adil raja disembah, raja zalim raja zalim raja disanggah”.

Jika bukan kerana Sultan Mahmud berlaku zalim. Adakah berani kiranya bagi Laksamana Bintan membunuh baginda? Mudahnya, apabila raja itu sudah tidak MARHAEN lagi, dari pandangan saya tidak ada salah bagi rakyat bangun memberontak bukan? Ini bukan artikel hasutan, saya amat menghormati institusi beraja.

Ambil sultan Pahang sebagai contoh (adakah contoh lain?) baginda memang seorang yang berjiwa rakyat. Daulat tuanku daulat tuanku daulat tuanku. Raja dalam konteks tulisan saya sebetulnya ialah pemimpin kabinet dan jemaah menteri kita. Bukan semua bagus, dan tidak semua korup. Jadi saya mengajak anda memberontak? Terpulang, saya hanya menulis. Tafsiran pada anda.
Apa halnya dengan Mahathir? Pemimpin yang seorang ini saya rasakan contoh yang cukup sempurna pada Melayu dan raja. Kenapa? Ingat lagi dahulu Dr. M pernah ada konflik dengan majlis Raja-raja. Sampai Tun Ghafar Baba menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua pihak. Gara-gara tindak tanduk Dr. M yang seolahnya membuang raja Melayu.

Derhakakah Mahathir pada raja? Kalau ditanya pada saya, Mahathir itulah Demang Lebar Daun abad ini. Betul tindakannya. Hamba melayu khianat pada raja apabila raja khianat pada janji. Melayu yang tidak hanya tunduk membabi buta. Berbaur hasutankah? Terpulang. Jadi saya rasa pembaca dapat menafsir bagaimana sikap Melayu dengan pemerintah. Mungkin agak kabur untuk melihat mesej saya, bahkan saya pasti ada yang kurang faham.

Tidak mengapa asalkan anda seorang Melayu. Jadi pada anda, Melayukah Mahathir? Orang yang lantang menentang waris (PM) yang dipilihnya sendiri (menangisi kesilapan masa lalu?) dan diam-diam berkonflik dengan Majlis Raja-raja.

Tetapi apa yang patut dipuji orang tua ini keluar dari parti UMNO. Saya anti kerajaan? Tidak. Terpulang pada anda. Saya cukup jelik melihat poster pilihanraya, “Kalau nak perjuangan pilih UMNO”. Perjuangan apa? Kononnya untuk orang Melayu, kononnya. Saya rasa ahli UMNO perlu memohon ampun pada orang Melayu. Teman kata Umno itu parti untuk orang-orang elit melayu. Kita yang dibawah sekadar menyapu karpet merah mereka. Pemimpin dalam istana. Rakyat dalam kandang selayaknya rumah mereka. Ini perjuangan? Saya orang Pakatan Rakyat? Heh! Pembangkang yang tidak tentu hala! Apabila harga minyak naik mereka mengajak kita berdemonstrsasi, apa dengan laungan retorik kosong di tepi jalan itu mampu mengubah pasaran dunia?. Jadi saya dimana? Terpulang. Saya hanya menulis. Anda yang menilai. Tetapi apa sekalipun. Saya tetap orang Melayu disisi perlembagaan, walau bukan dari susur galur darah.

Raja Maluku meminjam kuda,
Meminjam kuda pada maulana,
Tuanku nyawa orang muda,
Arif bertambah bijaksana.
Muka surat 180, Sulatus Salatin (hikayat Melayu), penyelenggara naskah, A Samad Ahmad 1979©, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sekarang kita Melayu ialah masyarakat SUBSIDI. Subsidi dihapuskan kita bising, kenapa? Katanya kerana bangsa lain kaya raya. Jadi salah siapa? Bukankah dulu orang Melayu pelayar yang gagah? Ingat Panglima Awang, yang belayar bersama Ferdinand de Magellan mengelilingi dunia. Adakah dahulu dia belayar atas subsidi minyak kerajaan Portugis? Jangan cepat melatah. Wakaupun latah itu hanya pada bangsa Melayu tidak pada bangsa lain. Mana falsafah orang melayu sekarang? Kian punah dihenyak dan dirobek oleh batang tubuh kita sendiri. Fikir-fikirkanlah…

Khamis, 5 Jun 2008

Falsafah yang kian punah?

Entah kenapa tetapi hati saya dirundung seribu satu gundah. Saya rasa seperti mahu sahaja menyinga! Arghhh!! Aneh bukan? ini saya rasa entry yang paling bebas dari saya.

Saya MARHAENIS! Saya ulang, MARHAENIS yang berjiwa marhaen bukan insan dogmatik yang hapista semuanya. Ya mungkin ada yang rasa ini provokatif. Tetapi inilah melayu kita yang gemar mencedok! Hentikanlah! Harga minyak naik menteri yak endah? mana pergi nasib rakyat? Sudah dipijakkah? Sudah dihenyakkah?

ARghhhhhhh.........................!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

MIMBAR

MIMBAR

Nukilan: Abesa@Muhammad Faisal Mat Zawi

Azan subuh yang dilaungkan Pak Jak sayup-sayup sahaja bunyinya.Suara azan itu pecah-pecah keluar daripada speaker yang uzur seusianya. Rantaian kalimah tauhid itu terus terbang ke segenap penjuru dan ceruk Kampung Keluat. Menerobos melalui setiap gegendang telinga penduduk yang masih enak diulit mimpi tidur dalam balutan selimut dan gebar yang memberi kehangatan dalam dingin terang tanah itu. Akhirnya kalimah itu berhenti pada puncak Bukit Tiu yang berbalam-balam dibalut kabut.

Seperti sediakala, yang ada di surau tua itu subuh-subuh begini cuma Imam Nuar dan Pak Jak. Kalau tidak mereka siapa lagi yang ‘nak memakmurkan surau kampung itu, bukannya orang lain malas ke surau, cuma kalau subuh-subuh begini mereka lebih gemar sembahyang di rumah. Imam Nuar yang separuh abad itu, masih lagi bertongkat dagu di kekisi. Dilihatnya beberapa buah rumah mula dipasang lampu. Kokokan ayam jantan di reban sahut-menyahut. Memecah kedamaian udarakasa.

Selesai memberi salam, mulutnya kumat-kamit berwirid, sesekali butirnya tenggelam dari kerana otot lidah tidak bertemu batang gigi yang sepatutnya. Pak Jak yang muda sedikit daripada Imam Nuar sekadar mengikut wirid yang dibaca.

Jam tujuh lima minit pagi, mambang kuning melimpahkan cahayanya pada setiap inci bumi. Kampung Keluat yang terletak di sebelah selatan Bukit Tiu, betul-betul pula di tebing Sungai Kelantan cepat benar menerima cahaya matahari pagi, dan cepat pula malam menghambat siang. Dimana-manapun pada saban bilah-bilah pagi hari yang datang, warunglah tempat manusia bertumpu. Dari yang lepas menghantar anak ke sekolah, ke ladang buat menoreh, atau ke pekan atau yang sekadar menghabiskan masa dan wang semuanya ke warung Lijah Janda itu. Entah kenapa, Lijah itu memang janda, tapi itu cerita lima tahun dahulu. Sekarang sudah menikah juga dengan Ramin Mesin, yang membuka sebuah bengkel di Bandar Kilu Krai.

‘Sreeiiitttt...!’ Imam Nuar membrek motosikalnya.

“ Assalamualaikum!” Laungnya sambil menongkatkan motosikal.

“ Waalaikummusalam…” Salamnya bersambut oleh orang-orang di warung. Ramin menghampiri meja Imam Nuar.

“ Minum bang Nuar?”

“ Macam biasalah…”

“ Jahh! Kopi jantan satu!”

Seluruh isi warung terkedu. Semua mata memandang Imam Nuar. Dia kaget. ‘Apa hal pulak’ hatinya dirundung risau.


(apa yang terjadi? kenapa seluruh isi warung terkejut? Dapatkan full version cerpen MIMBAR dengan menghantarkan emel anda kepada saya)